
Skuad karate negara diperkuat jurulatih dari Mesir

PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) melakukan perubahan dalam barisan kejurulatihan apabila membawa mengambil jurulatih baharu dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy dalam usaha untuk melahirkan bintang yang mampu menbutirkan pingat emas buat kontinjen negara.
Dengan perlantikan baharu ini, Tamer akan mengemudi skuad karate kebangsaan untuk menghadapi dua temasya besar tahun ini iaitu Sukan SEA Kemboja pada Mei serta Sukan Asia Hangzhou pada September.
Lantikan ini juga sekaligus menyaksikan Pengarah Kejurulatihan Makaf, Datuk P. Arivalagan digugurkan daripada barisan kejurulatihan, tetapi khidmat R. Puvaneswaran masih dikekalkan sebagai jurulatih untuk acara kumite.
Sasaran besar menanti Tamer apabila Makaf meletakkan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya tiga pingat emas di Sukan SEA serta satu pingat emas di Sukan Asia sejurus pengendali itu melaporkan diri pada 1 Februari 2023.
Setiausaha Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad menjelaskan tindakan ini dilakukan kerana Malaysia memerlukan ‘sparring partner’ dari negara-negara luar Asean dan Tamer mempunyai hubungan yang baik dengan jurulatih luar yang lain.
“Kita menamatkan perkhidmatan Arivalagan dan kita akan mengambil jurulatih dari Mesir yang akan memulakan tugas 1 Februari ini dan dia akan menjadi ketua jurulatih skuad senior dan pelapis negara.
“Saya ingat saya dah beri peluang jurulatih tempatan tetapi mereka tidak dapat memberikan apa yang saya mahukan oleh itu sudah tiba masanya kita mengambil jurulatih dari luar negara.
“Kalau kita lihat kebanyakan kejohanan Karate Dunia dan Karate Asia diadakan di Eropah dan untuk mendapatkan ‘sparring partner‘ dari pemain tersebut saya perlukan hubungan antara jurulatih luar yang lain dan ini yang ada pada Tamer.
“Jika kita fokus jurulatih Malaysia, kita akan dapat pasukan seperti Thailand, Indonesia dan saya tidak nampak atlet kita akan berkembang,” jelasnya ketika ditemui selepas selesai menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil pada Jumaat.
Dalam perkembangan yang sama, Nur Azmi turut mengesahkan program skuad Kata yang berpengkalan di Pulau Pinang akan ditutup setelah kesemua atlet dan jurulatih menolak tawaran Makaf untuk berlatih di MSN Bukit Jalil.