AKSI panas membabitkan Manchester City dan Liverpool berakhir dengan drama besar, namun tumpuan selepas wisel penamat lebih terarah kepada kemarahan Arne Slot terhadap keputusan pengadil dan VAR yang dianggap merugikan The Reds.
Pengendali Liverpool itu berang apabila Mohamed Salah dijatuhkan ketika situasi satu lawan satu di dalam kotak penalti, namun pengadil Craig Pawson hanya menghadiahkan sepakan percuma serta kad kuning, manakala semakan VAR tidak menaik taraf keputusan itu kepada penalti atau kad merah.
Slot menegaskan insiden itulah yang sepatutnya menjadi perbualan utama berbanding kekecohan lain di penghujung permainan.
“Jika ada satu insiden yang patut kita bincangkan, ia ketika Mo Salah berdepan penjaga gol. Sesiapa yang datang ke stadium ini tujuh atau lapan tahun kebelakangan ini tahu itu adalah gol untuk Salah. Sekali lagi, pengadil membuat keputusan tidak memihak kepada kami. Mereka perlu menjalankan tugas mereka,” katanya.
Beliau mengakui boleh menerima kad merah yang dilayangkan kepada Dominik Szoboszlai dalam situasi lain kerana ia selari dengan buku peraturan, namun mempersoalkan mengapa kesalahan ke atas Salah tidak dinilai dengan standard sama. Baginya, jika tarikan jersi terhadap Erling Haaland dianggap menafikan peluang gol, perkara sama juga berlaku kepada penyerang Liverpool itu.
Dalam perlawanan dramatik tersebut, Liverpool terlebih dahulu di depan hasil sepakan percuma menarik Szoboszlai, namun City bangkit sebelum diberikan penalti selepas Alisson mengasari Matheus Nunes. Haaland mudah menyempurnakan sepakan dari titik putih untuk memberikan kelebihan penting kepada pelawat.
Kekecohan terus memuncak apabila percubaan Alexis Mac Allister diselamatkan, Liverpool sekali lagi merayu penalti dalam situasi kelam-kabut, sebelum jaringan Rayan Cherki dibatalkan VAR dan Szoboszlai diperintah keluar padang.
Namun bagi Slot, segala drama itu tidak mengubah hakikat bahawa peluang keemasan Salah menjadi detik paling menentukan. Kekecewaan jelas terpancar, dan mesejnya mudah konsistensi pengadilan perlu wujud pada tahap tertinggi bola sepak.