OLE Gunnar Solskjaer memulakan era baharunya sebagai pengendali Besiktas dengan penuh bergaya apabila membenam gergasi La Liga, Athletic Bilbao 4-1 dalam aksi Liga Europa, pada Rabu.

Bekas pengurus Manchester United itu, yang kembali ke arena pengurusan selepas meninggalkan Old Trafford pada 2021, dilantik sebagai pengendali Besiktas dengan kontrak 18 bulan bernilai £3 juta (RM16 juta).

Justeru, Solskjaer mendapat tonik terbaik dalam aksi pertamanya, dengan Milot Rashica, bekas pemain Norwich City, mencipta impak besar melalui dua gol yang dijaringkan.

Rafa Silva dan Joao Mario, bekas bintang West Ham, turut meledak masing-masing satu gol untuk melengkapkan kemenangan bergaya skuad Turki itu.

“Ini adalah permulaan yang sangat baik untuk pasukan dan keputusan yang hebat tetapi yang paling penting, saya gembira melihat bagaimana pemain saya berjuang bersama-sama.

“Sejak mula bekerja dengan pemain, kami memberi tumpuan kepada keyakinan dan bola sepak adalah tentang rasa seronok.

“Kami dapat segala yang diinginkan malam ini, kami bekerja bersama sebagai satu pasukan. Lebih mudah untuk menang apabila anda bekerja keras dan bijak,” kata Solskjaer selepas perlawanan.

Dengan kemenangan tersebut, Besiktas kini bersedia untuk aksi domestik pertama di bawah bimbingan Solskjaer apabila mereka bakal berdepan Antalyaspor pada Ahad.

Pasukan itu kini berada di kedudukan keenam Liga Super Turki dan berharap untuk terus mencipta momentum di bawah kendalian pengurus baharu mereka.

Solskjaer tampaknya membuktikan dia masih “The Best” dalam dunia pengurusan, mengingatkan semua pihak akan kemampuannya untuk mencipta magis di tepi padang.