PENYERANG sensasi Korea Selatan, Son Heung-min menggesa rakan sepasukan diberikan perlindungan daripada kritikan keras yang ditujukan tepat kepada mereka sepanjang berada di Piala Asia 2023.
Son yang beraksi untuk Tottenham Hotspur itu berkata, kritikan terhadap pasukan itu sangat menyakitkan tanpa menjelaskan secara spesifik, sambil menambah bahawa pemain telah tertakluk kepada komen yang tidak boleh ulangi.
Korea Selatan mara ke pusingan kalah mati kejohanan di Qatar walaupun bolos gol penyamaan pada saat akhir ketika seri 3-3 dengan Malaysia, yang berada di ranking ke-130 dunia.
“Sesetengah pemain itu dikritik atau mendapat komen yang melampaui batas.
“Ia benar-benar menyakitkan sebagai rakan sepasukan melihat rakan-rakan dalam kesakitan.
“Kami bekerja keras di atas padang, kami cuba memberikan segalanya untuk penyokong dan negara,” kata kapten itu kepada pemberita selepas perlawanan.
Son sebaliknya, tidak menyatakan apakah jenis bentuk ‘penderaan’ atau daripada dakwaan itu wujud.
“Sebelum mereka menjadi pemain, mereka adalah manusia. Mereka mempunyai keluarga di rumah, sesetengah daripada mereka mempunyai anak. Ia sangat menyakitkan dan saya benar-benar meminta bantuan untuk melindungi kami,” katanya.
Terdahulu, penjaga gol Jepun Zion Suzuki pada Isnin mengadu diserang secara perkauman di media sosial berikutan kekalahan mengejut pasukannya kepada Iraq.
Suzuki, bapanya merupakan warga Ghana-Amerika dan ibunya dari Jepun, mendapat sokongan penuh skuad Jepun.