SPEEDY Tigers menempa kekalahan pertama pada saingan Piala Negara-Negara FIH, sekali gus meletakkan pasukan dalam situasi genting untuk ke separuh akhir pada kempen yang berlangsung di Gniezno, Poland.

Selepas perlawanan ditunda sehari akibat hujan lebat melanda negara itu, pertemuan dengan Perancis berakhir memihak kepada wakil eropah yang memenangi perlawanan 3-1.

Ketua jurulatih, Sarjit Singh menganggap kekalahan itu bagaikan satu peluang keemasan yang dilepaskan anak buahnya, untuk sekurang-kurangnya mengikat tuan rumah Sukan Olimpik 2024 itu.

Penyerang negara, Faizal Saari diasak pemain Perancis. | FOTO FIH

“Secara keseluruhan, pemain sudah bermain dengan bagus dan menunjukkan komitmen yang sangat tinggi. Satu kerugian kita tidak dapat sekurang-kurangnya satu mata. Kami di hukum dengan kesilapan kecil,” katanya.

Tambah Olimpian 1984 dan 1992 itu, banyak ruang untuk pemain meningkatkan lagi kemahiran selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini.

“Kita perlu menganalisis apa yang berlaku dengan lima pukulan sudut penalti yang tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kami tidak ada pilihan lain untuk aksi seterusnya iaitu perlu mengatasi Kanada. Tidak mustahil untuk mereka melakukan sesuatu pada perlawanan terakhir itu dan mentaliti kemenangan perlu diterapkan kepada semua pemain,” katanya.

Dua pemain Perancis mengekang kemaraan Azrai Aizad Abu Kamal pada perlawanan kedua kumpulan B, Piala Negara-Negara di Poland. | FOTO FIH

Selepas dua perlawanan Malaysia menduduki tangga ketiga Kumpulan B di belakang Perancis yang sudah melayakkan diri ke separuh akhir dan Pakistan pesaing untuk merebut satu lagi slot di aksi empat terakhir.

Jika menumpaskan Kanada dan mengharapkan Pakistan dibelasah Perancis peluang skuad negara untuk ke separuh akhir sedikit cerah namun ia juga bergantung kepada jumlah jaringan serta bolos.

Pakistan yang dibimbing bekas jurulatih negara, Roelant Oltmans menghuni tangga kedua dengan mengumpul empat mata, 12 gol dan lima bolos.

Malaysia akan berdepan Kanada 9.30 malam esok dan jika gagal ke separuh akhir mereka hanya bersaing bagi kedudukan tempat kelima hingga kelapan terbaik.