MELIHAT perkembangan Muhammad Azeem Mohd Fahmi di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) membuatkan pelari pecut kebangsaan yang berpangkalan di tanah air, membuak-buak mahu melakar kejayaan lebih baik tahun ini.
Baru dua bulan di negara orang, Azeem membalas kepercayaan Universiti Auburn yang mengambilnya menyambung pelajaran dengan menghadiahkan pingat gangsa apabila muncul pemenang tempat ketiga di Kejohanan Texas City akhir Januari lalu, yang turut menbyaksikan dia memecah rekod kebangsaan 60 meter (m) dalam dewan milik Watson Nyambek 6.66 saat (s).
Catatan dilakukannya 6.63s pada pusingan separuh akhir mengatasi rekod watson berusia 24 tahun, namun minggu lalu Azeem mencatat masa lebih pantas 6.62s, di kejohanan Tiger Paw Invitational.
Muhammad Haiqal Hanafi yang menjuarai Kejohanan Trek dan Padang Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menganggap, Azeem bertuah menyambung pelajaran dan menjalani latihan di AS.
“Berbeza dengan kami, sejak dahulu saya fikirkan kami memerlukan banyak kejohanan di luar negara kerana jika hanya beraksi pada kejohanan tempatan, kami sudah tahu kemampuan satu sama lain.
“Di luar negara sebagaimana Azeem lalui ketika ini, dia hanya akan berlari untuk mendapatkan masa yang lebih pantas. Saya berharap sangat supaya orang atas seperti KOM pertimbangkan menghantar kami sertai kejohanan luar negara tahun ini,” kata Haiqal.
Mengakui agak rapat dengan Azeem bagaikan hubungan adik abang, Haiqal mendedahkan bahawa Azeem ada menghubunginya Sabtu lalu.
“Azeem buat panggilan video mengucapkan selamat berjaya kepada saya sebelum saya berlari pada final 100m dan saya ucapkan tahniah kerana dia memecahkan rekod kebangsaan lagi sekali.”
Bagi Muhammad Zulfiqar Ismail, bersaing di luar negara memberi kelebihan untuk Azeem terus mencipta larian lebih pantas.
“Kami di sini kurang kejohanan, kurang pencabar dan setiap kali bersaing, muka yang sama sahaja berbanding Azeem, berpeluang beraksi dengan individu hebat termasuk Olimpian.
“Malah, persekitaran di sana tidak diganggu ‘manusia toksik’ dan sentiasa positif,” kata Zulfiqar.
Nur Aishah Rofina Aling yang masih segar dengan kemenangan Sabtu lalu berkongsi hal yang sama.
“Selepas habis study di UMS (Universiti Malaysia Sabah), jika dapat peluang berlatih di luar negara saya akan pergi. Itu manfaat yang saya lihat pada Azeem, cukup memberangsangkan.
“Kelebihan dia (Azeem) di AS adalah persekitaran, fasiliti dan saingan. Saya jalani latihan di Sandakan, Sabah.. apalah sangat fasiliti kami ada tapi saya bersyukur kerana masih dapat buktikan dengan keputusan baik.
“Azeem dapat berlari bersama Olimpian Trayvon Bromell, mendaat persaingan positif dan berkualiti, membuatkan dia akan memaksa dirinya lebih dari kemampuan,” kata Aishah.
Sementara itu, bagi pelari pecut senior Siti Fatimah Mohamed, jika dapat diundur masa, dan ditawar peluang ke AS, dia akan menggunakan sebaiknya.
“Sebenarnya ramai atlet muda kita mendapat tawaran seperti Azeem, tapi ramai yang menolak. Melihat Azeem berlari bersama Bromell, saya pasti dia lebih bersemangat,” kata Siti Fatimah yang kini berusia 37 tahun.
Siti Fatimah mula mewakili pasukan kebangsaan sejak berusia 13 tahun lalu, masih menjadi pencabar acara pecut wanita selepas hampir 25 tahun di pentas antarabangsa.
“Azeem kini memulakan larian bersama pesaing lain yang hebat, yang kualiti mereka hampir sama. Berlari bersama pencabar yang laju dari blok permulaan, akan membuatkan Azeem mengikut pergerakan sama, momentum sama dengan orang lain, saya harap Azeem akan mencapai prestasi jauh lebih baik dari sekarang,” katanya.
Trayvon Bromell adalah pelari ketiga terpantas AS ketika ini, memiliki catatan peribadi 100m 9.76s.