PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bangga dengan aksi yang ditunjukkan anak-anak buahnya yang berjaya mengekang Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun terpaksa akur dengan kekalahan 1-3 dalam final Piala Malaysia pada Jumaat.
Tomi juga mengakui keadaan padang yang kurang memuaskan juga menjadi sebab mereka tidak dapat bermain permainan yang biasa dimainkan dan terpaksa bermain corak permainan hantaran jauh.
“Saya tidak puas hati dengan keputusan tetapi bangga dengan para pemain yang dapat halang JDT sepanjang 70 minit. Tahniah kepada pemain saya dan tahniah kepada JDT tetapi apa boleh saya katakan, saya puas hati dengan cara pasukan kami bermain.
“Padang tidak baik walaupun ianya lebih baik berbanding semalam tetapi kedua-dua pasukan bermain di padang yang sama dan akibatnya kami tidak dapat melakukan ‘build up’ seperti biasa dan bergantung kepada hantaran jauh,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pengendali kelahiran Croatia itu bagaimanapun tidak mahu memberikan komen lebih lanjut mengenai mutu pengadilan sebaliknya mencadangkan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada masa akan datang.
“Mungkin akan datang VAR dipasang dalam perlawanan seperti ini kerana tiga penalti yang diberikan memerlukan pengadil merujuk semula dengan pembantu pengadil.
“Banyak hadangan keras dilakukan kepada pemain kami dan mungkin lebih kad kuning patut diberikan kepada pertahanan JDT tetapi saya tidak mahu komen banyak tentang pengadil,” jelasnya.
Terengganu FC tewas menerusi dua penalti dari Bergson Da Silva dan Arif Aiman serta tandukan Feroz Baharudin untuk kekal kempunan kejuaraan Piala Malaysia sepanjang 22 tahun.