PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal akan berusaha mengemukakan cadangan kepada Presiden baharu Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Datuk Mohammad Tayyab Ikram agar membuka lebih banyak slot kepada pasukan dari benua Asia untuk beraksi di Sukan Olimpik.

Beliau menyuarakan isu tersebut selepas mengambil kira bilangan pasukan yang akan beraksi di Sukan Olimpik dalam acara hoki yang sebelum ini hanya terhad kepada 12 pasukan, adalah wajar ditambah kepada bilangan 16 pasukan yang akan beraksi pada temasya yang dilangsungkan setiap empat tahun.

Selain itu, beliau turut berharap agar FIH mempertimbangkan untuk memberi dua slot secara automatik kepada pasukan yang menjadi finalis Sukan Asia untuk diserap beraksi di Sukan Olimpik.

Pertimbangan tersebut diambil kira bagi memberi lebih peluang kepada negara dari benua Asia untuk memeriahkan sukan hoki yang pada dasarnya bertujuan menyatupadukan seluruh rakyat di setiap pelosok negara.

Subahan gembira dapat memegang trofi yang dijulang skuad negara dalam aksi Pial Sultan Azlan Shah pada Khamis

“Tadi pun saya ada bincang dengan Datuk Tayyab. Salah satu perkara yang saya bawa adalah kalau boleh mohon pertimbangkan permintaan pertama saya kepada FIH, boleh tidak berikan lebih slot kepada Asia.

“Kalau boleh beri lebih slot kepada Asia, lebih slot kepada Amerika Selatan, lebih slot dari kesemua benua. Biarlah ia nampak adil.

“Ia lebih kepada membawa lebih banyak pasukan dan pemain untuk bermain hoki. Jika perkara itu dipertimbangkan, saya rasa sukan hoki akan lebih menyatupadukan dunia. Secara tidak langsung, lebih pasukan dari rantau Asia akan diberi peluang beraksi di Olimpik.

“Saya harap itu permintaan pertama saya kepada FIH untuk mengkaji balik sistem kelayakan Olimpik khususnya untuk negara di Asia.

“Kalau kata 12 sebelum ini, mungkin lebih dalam tiga atau dua slot lebih dari Asia. Mohon supaya finalis Sukan Asia akan layak ke Olimpik. Ia bermakna dua pasukan terbaik layak ke Olimpik.

“Kemudian kalau kita ada playoff, jika kita tewaskan pasukan yang lebih kuat, mungkin peluang dan slot tersebut perlu diberikan kepada pasukan dari Asia.

“Ini permintaan saya tetapi macam saya kata saya hanya boleh memohon. Saya membuka peluang bukan sahaja untuk pasukan Malaysia tetapi keseluruhan rantau Asia. Mungkin Malaysia, mungkin Jepun, mungkin Pakistan.

Penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Azlan Shah tidak henti-henti memberi sokongan

“Cuba sahaja lihat Olimpik terakhir, hanya India bermain di Olimpik untuk benua Asia, jadi cuba anda fikir adilkah begitu? Mana pergi negara lain?

“Jadi, saya fikir FIH patut pertimbangkan perkara tersebut untuk dibawa ke Jawatankuasa Olimpik. Dari segi merit, slot 12 pasukan mungkin ditukar kepada 16 pasukan untuk bermain di Olimpik,” ujarnya pada sidang media pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kegembiraan setelah menyaksikan skuad hoki kebangsaan berjaya menamatkan penantian 39 tahun di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah malam tadi.

“Saya memang bangga dengan apa yang Arul dan pasukan lakukan. Saya juga bangga dengan Datuk Mirnawan Nawawi dengan apa yang telah disumbangkan dalam hoki Malaysia,” katanya.

Mengulas berkenaan ganjaran atas pencapaian skuad hoki kebangsaan merangkul gelaran Piala Sultan Azlan Shah malam tadi, beliau akan berbincang terlebih dahulu dengan Lembaga Eksekutif bagi menilai ganjaran yang rasional yang akan diberi kepada pemain di atas pencapaian luar biasa mereka.

Namun, nilai ganjaran sebenar hanya akan dimuktamadkan dalam satu majlis meraikan pemain yang bakal dilangsungkan dalam jangka masa terdekat.

“Ganjaran itu InshaAllah ada. Hanya saya harus lontarkan satu idea kepada barisan Lembaga Eksekutif. Saya tidak boleh buat keputusan sendiri. Kita ada committee, jikalau committee semua setuju, InshaAllah kita akan buat satu majlis meraikan pemain dalam masa terdekat,” jelasnya.