BEKAS Menteri Belia dan Sukan,  Khairy Jamaluddin berpendapat sudah tiba masanya untuk perubahan dilakukan kepada pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) demi masa depan sukan paling popular negara itu.

Beliau yang ditemui di majlis bertemu bintang Battle of the Reds antara Manchester Reds dan Liverpool Reds di Kuala Lumpur turut mencadangkan pilihan individu yang sesuai untuk menerajui FAM.

“Ini pandangan peribadi saya, mungkin sudah tiba masanya untuk perubahan di FAM. Pengurusan yang sedia ada sudah melakukan tugas mereka tetapi kerana kita ingin melihat peningkatan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sudah tiba masa untuk ada peralihan dalam FAM.

KJ mencadangkan individu korporat ambil alih pucuk pimpinan FAM

“Calon-calonnya mungkin boleh dipertimbangkan seseorang yang ada pengalaman di luar daripada pengurusan sukan dan saya lebih suka melihat individu yang ada pengalaman dalam dunia korporat sebab mereka akan berikan komitmen kepada pengurusan dan tatakelola perniagaan dengan sangat bagus.

“Saya tidak mahu salahkan pengurusan sedia ada tetapi pada saya pengurusan dan tatakelola itu dapat dimantapkan lagi. Apabila kita ada pengurusan dengan misi dan perlaksanaan yang baik, saya percaya dan yakin kita akan dapat lihat peningkatan dari segi pasukan kebangsaan dan saya harap ada orang yang menawarkan diri menjadi calon,” katanya.

KJ yang pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden FAM dari 2007 hingga 2010 bagaimanapun menolak peluang untuk kembali ke FAM kerana sedar tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya kepada persatuan.

KJ menjadi moderator dalam sesi bertemu bintang Battle of the Reds

“Saya tidak tahu timbul daripada mana tentang perkara ini tetapi saya tidak terfikir untuk kembali ke FAM walaupun pernah menjadi Timbalan Presiden kerana saya rasa ada calon-calon yang lebih layak untuk menerajui FAM.

“Menjadi Presiden FAM ini adalah satu peranan yang memerlukan ketelitian atas sebab bola sepak sentiasa diberikan perhatian oleh orang ramai. Saya tidak mempunyai masa dan saya rasa tidak adil buat FAM jika saya cuba nasib dalam pemilihan akan datang,” jelasnya.