PELAYAR berusia 17 tahun, Asnawi Iqbal Adam menjadi penyumbang pingat pertama kontinjen negara di temasya Sukan Asia Hangzhou.

Kejayaannya memenangi pingat gangsa itu menceriakan kem negara selepas temasya memasuki hari ketiga saingan.
Asnawi yang beraksi dalam acara ILCA 4 mempamerkan aksi konsisten dalam lima perlumbaan terakhirnya, dalam acara ILCA 4.

Pada perlumbaan ke-10 dan terakhir, Asnawi mengekalkan aksi konsisten untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua terbaik membolehkannya memintas pesaing terdekat, Mohamed Alzaabi dari Emiriah Arab Bersatu dengan hanya perbezaan tiga mata penalti.

Selepas menamatkan 11 perlumbaan, Asnawi menduduki tempat ketiga dengan 42 mata penalti berbanding Mohamed, 45.
Asnawi, 17, berkata dia bangga dan terkejut apabila dimaklumkan menjadi penyumbang pingat pertama buat kontinjen negara.

“Kalau dibandingkan dengan atlet lain, kita masih masih jauh, mereka (pemenang pingat emas dan perak) berlatih di eropah dan saya hanya berada di Langkawi.

“Apapun dari segi latihan dan persiapan saya berjalan dengan baik tapi masih perlu lakukan lebih lagi, ” katanya.

Asnawi berkata, selepas ini dia ingin mencuba kategori yang lain iaitu ILCA 6 atau 5 berikutan peningkatan umur selepas ini.

Tengku Nuraini Ezaty Tengku Khairudeen sumbang pingat kedua kontinjen negara.

Emas dalam acara itu dimenangi pelayar Thailand, Weka Bhanubandh, memperoleh emas dengan 13 mata penalti, manakala pemain Singapura Isaac Goh (21) membawa pulang perak.

Sementara kem pelayaran negara terus cemerlang menambah satu lagi pingat gangsa buat kontinjen menerusi Tengku Nuraini Ezaty Tengku Khairudeen.

Hanya beberapa jam selepas Asnawi menyumbang pingat pertama kontinjen negara pada Sukan Asia kali ini, Tengku Nuraini menghadiahkan pingat gangsa kedua apabila dia menamatkan saingan di tempat ketiga dalam acara RSX wanita.

Tengku Nuraini mencatat 40 mata untuk berada di belakang pemenang emas dari Thailand , Siripon Ngam Kaewduang (17) dan Ngai Wan Yan dari Hong Kong (18).