AKADEMI  Catur Ariez Azman (ACAA) mengagumi semangat juang yang ditunjukkan oleh atlet catur para Malaysia yang akan ke Sukan Para Asean Kemboja Jun ini.

Fasilitator ACAA, Norazlin Juarih berkata, sesi simul telah diadakan baru-baru ini bersama kontinjen catur para diketuai oleh IM Mas Hafizulhilmi dan FM Ismail Ahmad yang kedua-duanya merupakan pemain catur bertaraf International Master.

“Secara umum, atlet catur OKU sama sahaja seperti atlet yang lain. Namun, mungkin ada sedikit cabaran apabila mengajat atlet kurang upaya penglihatan.

“Memandangkan mereka tidak mampu melihat dan menggunakan set catur yang berbeza, maka kaedah pengajaran juga sedikit berbeza,” kongsi Norazlin kepada FLASH SUKAN.

Jelas Norazlin lagi, komitmen dan semangat juang yang tinggi merupakan aset utama untuk atlet para catur dan dia percaya atlet negara mampu memberikan saingan kepada pencatur-pencatur lain terutamanya Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Dalam pada itu, Norazlin yang merupakan atlet para Celebral Palsy juga mengharapkan agar kontinjen catur negara dapat berjuang sehabis baik dan bermain dengan mentaliti juara.

“Be a humble winner or a gracious loser,” tambahnya lagi.

Norazlin merupakan bekas atlet para catur Malaysia dalam Sukan Para Asean pada tahun 2015 dan 2017 namun oleh kerana kekangan masa serta komitmen, dia terpaksa menarik diri daripada mewakili negara pada tahun ini.

Selain itu, dia juga pernah memenangi pingat emas ketika Para Sukma 2022 dalam sukan catur berpasukan dan individu.