KEPUASAN jelas terpancar berdasarkan mimik muka dua pesilat ganda negara, Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga yang berjaya menyumbangkan emas pertama bagi acara pencak silat Sukan SEA 2021.

Mereka mengakui banyak faktor pendorong sehingga tercetus mara ke peringkat akhir termasuk cemerlang dinobatkan sebagai juara di Hanoi.

“Pertama kali syukur pada Allah atas kemenangan yang dicapai. Perasaan ini sukar untuk diungkapkan, ada rasa gembira dan seronok.

“Cukup manis apabila kami dapat mempertahankan emas dalam acara ini yang dimenangi Malaysia di Sukan SEA Filipina 2019,” kata Sazzlan kepada Flash Sukan selepas pertandingan.

Sementara itu, Mohd Taqiyuddin yang merupakan anggota polis berterima kasih kepada semua pihak dalam memastikan impian dan sasaran pada temasya dwitahunan kali ini dicapai dengan jayanya.

“Terima kasih PESAKA, MSN terutamanya yang bagi semangat dan suntikan motivasi sepanjang latihan kami bersama. Terima kasih atas segalanya,” ujarnya.

Pertandingan terdekat bakal disertai mereka adalah Kejohanan Silat Dunia 2022 di mana Melaka dipilih sebagai tuan rumah yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 21 hingga 29 Julai ini.

“Kami mungkin akan buat lagi yang terbaik lebih dari Sukan SEA Vietnam ini. Insha Allah kami sasar emas juga di kejohanan itu,” tambah Shazzlan.