TIDAK kenal maka tak cinta, begitulah situasi dihadapi Siti Nur Azwani Nor Azli pada awal kehadiran ketua jurulatih baharu Karate (Kumite) dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy, bulan lalu.
Sukar untuk mengadaptasi sistem latihan baharu dan berbeza dibawa jurulatih terbabit, menerbitkan keraguan dalam dirinya, namun dia tetap cuba untuk mempercayai kaedah dibawa Tamer.

Jurulatih Karate (Kumite) berasal dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy, berpengalaman luas dalam kejurulatihan antarabangsa dan pernah menjadi ketua jurulatih karate Iraq dan Mesir hingga Mesir menduduki ranking ketiga dunia dalam karate.
“Sistem latihan berbeza menyukarkan saya untuk menyesuaikan diri, tetapi selepas beraksi di Kejohanan Karate Asia Tenggara (SEAKF) di Filipina minggu lalu, saya mula yakin dengan kaedah, sistem dan program disediakan jurulatih.
“Terutamanya selepas saya meraih pingat emas, membuka mata saya betapa kaedah latihan diperkenalkan jurulatih baharu ini, membuahkan hasil,” kata Siti Nur Azwani.
Menurutnya, pada kejohanan terbabit, dia menewaskan karateka Vietnam, Nguyen Thi Ngoan pada final Kumite Wanita bawah 61 kilogram (kg).

Kejayaan Siti Nur Azwani Nor Azli meraih emas di Kejohanan SEAKF, Filipina minggu lalu dengan menewaskan pemenang emas Sukan Sea Hanoi tahun lalu, menyemarakkan lagi keyakinannya untuk memburu emas di Phnom Penh, Mei depan.
“Atlet Vietnam yang saya kalahkan itu adalah pemenang pingat emas di Sukan SEA Hanoi lalu, jadi saya ada keyakinan tinggi untuk meraih pingat emas di Kemboja.
“Malah saya akan terus memantau perkembangan Nguyen dan beberapa karateka lain dari Indonesia dan Filipina yang dijangka mencabar pingat nanti,” katanya.
Pada Sukan SEA Hanoi, Nguyen menang emas selepas menewaskan karateka Indonesia, Devina Dea pada final manakala pingat gangsa dikongsi atlet Filipina Jamie Lim dan Thailand, Arm Sukkiaw.
Pada temasya itu, Siti Nur Azwani pula sekadar meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan wanita, yang menyaksikan Vietnam menang pingat emas dan perak milik Indonesia.
Pada SEAKF lalu, skuad karate negara membawa pulang tiga pingat emas, lima perak dan lima gangsa, menduduki tempat kelima di belakang Vietnam (23 emas, 20 perak, 23 gangsa), Thailand (8-10-18), Indonesia (8-5-11) dan Filipina (6-5-11).