Foto: MOHD IZARI

UPACARA pembukaan rasmi Sukan SEA ke-31 yang bertema ‘For a Stronger Southeast Asia’ dibuka secara rasmi penuh kemeriahan yang dilangsungkan di Stadium My Dinh, Hanoi malam ini.

Hujan yang turun sepanjang hari tidak melunturkan peminat untuk hadir memenuhi kapasiti stadium yang penuh dengan pelbagai ragam dan gaya tersendiri.

Perasmian temasya dwitahunan itu diserikan dengan kehadiran Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc yang hadir merasmikan Sukan SEA kali ini.

Hampir 5,400 atlet dari 11 negara di Asia Tenggara bersaing dalam 40 sukan bagi merebut 526 pingat emas yang akan diadakan di Hanoi dan 11 kawasan berdekatan. Temasya itu dimulakan dengan perlawanan pertama bola sepak lelaki pada 6 Mei lepas.

Perarakan masuk negara anggota mengikut abjad bermula dengan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan diakhiri dengan kontinjen tuan rumah.

Kontinjen negara seramai 31 orang diketuai Datuk Nur Azmi Ahmad serta pembawa Jalur Gemilang, Nur Dhabitah Sabri yang juga atlet terjun negara segak bergaya memasuki padang.

Nur Azmi dan Dhabitah memakai pakaian tradisional Melayu iaitu ‘Busana Pendekar Melayu’ dan ‘Busana Puteri’. Anggota kontinjen lain memakai baju korporat rekaan khas bertemakan harimau, melambangkan kuasa, semangat juang, keberanian, keberanian, kepahlawanan.

Nyalaan obor menandakan bermulanya misi negara untuk memenangi 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa menjadi buruan kontinjen Malaysia di temasya Sukan SEA Hanoi yang dijadualkan bermula 12 hingga 23 Mei ini.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan di temasya Sukan SEA sejak edisi sulung 1959 Bangkok, Thailand adalah pencapaian 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa untuk muncul juara edisi 2017 di Kuala Lumpur.