KESEDIHAN akibat kehilangan ibu pada 2020, cuba diubati Nor Zamziezah Ahmad dengan hadiah bermakna kemenangan pingat emas dalam acara boling padang hari ini.

Mendedikasikan kemenangan itu kepada ibunya Rohani Karim yang meninggal dunia pada Mac 2020, akibat jangkitan kuman dalam darah, seminggu sebelum negara dilanda pandemic COVID 19, Zamziezah berkata dia pernah mahu meninggalkan lapangan boling padang.

“Selepas mak pergi, saya ingin berhenti bermain dan jarang turun berlatih, kerana saya kehilangan insan yang sentiasa memberi semangat dan dorongan. Tapi saya sedar, selain adik beradik, pasukan boling padang ini (Terengganu) adalah sebahagian keluarga saya.

“Jadi emas ini untuk arwah mak, insan yang kuat semangat membesarkan saya lima beradik, selama hampir 20 tahun tanpa ayah yang meninggal dunia ketika saya berusia tiga tahun,” katanya.

Menurut Zamziezah, kejayaan kali ini ‘manis’ apabila dia akhirnya merealisasikan impian beraksi dalam acara perseorangan wanita pada penampilan terakhir di temasya dwi tahunan itu.

“Saya mahu bermain dalam acara perseorangan sejak berusia 16 tahun lagi tetapi tidak mendapat peluang itu.

“Memandangkan ini adalah Sukma terakhir, jadi saya mahu berikan sesuatu dalam acara kegemaran saya ini,” katanya, yang turut berharap kejayaan kali ini dapat membuka peluang untuk dia disenaraikan dalam skuad kebangsaan.

Pada final perseorangan itu, Zamziezah mengatasi wakil Kedah, Nurul Alia Fitrah Mohamad Ali 20-13 dalam aksi final di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara.

Pingat gangsa milik atlet Pahang, Nik Asma Ifatul Aisya Bahari yang menewaskan wakil Melaka, Nor Syazana Afiqah Baharuddin 21-13.