BERADA di ranking terakhir yang layak ke final tidak mematahkan semangat penembak bukan pilihan dari Kedah, Muhammad Al-Azim Zakaria, yang melakukan kejutan di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, hari ini.
Penembak berusia 19 tahun itu menghadiahkan pingat pertama buat Kedah dalam acara menembak Sukan Malaysia XX (SUKMA), selepas merangkul pingat perak dalam acara 10m air rifle lelaki.
Bak kata orang ‘from zero to hero‘, Al-Azim mempamerkan kekuatan mental luar biasa menandingi penembak-penembak pilihan dari Pahang, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Sarawak.
Malah dia juga berjaya menamatkan kemarau kejuaraan selama empat tahun.
“Kali terakhir saya menang ketika tingkatan tiga dalam pertandingan bakat di Negeri Sembilan, saya lupa kejohanan apa tapi pingat perak kali ini sangat bermakna,” kata Al-Azim, berasal dari Pokok Sena, Kedah.
Dalam acara 10m air rifle lelaki, dia membidik 225.50 mata untuk meraih pingat perak.
Katanya, penampilan kedua di SUKMA seleps edisi 2018 di Perak, tidak diletakkan sebarang harapan biarpun dalam hati kecilnya terlalu mahukan kemenangan.
“Pada mulanya saya secara peribadi cuma sasarkan pingat gangsa kerana ramai pesaing hebat. Namun, prestasi pesaing lain mula menurun lalu saya mendaki daripada kedudukan kelapan hingga nombor dua.
“Pingat ini sangat bermakna kerana saya boleh gunakan kejayaan ini untuk masa depan saya. Pingat ini juga boleh menjadi titik permulaan buat saya dan skuad menembak Kedah untuk Sukma 2024 nanti,” katanya.
Pelajar Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin itu ketinggalan jauh di belakang pemenang pingat emas dari Pahang, Cheah Zen Hong yang memungut 231.70 mata.
Pingat gangsa pula menjadi milik penembak Wilayah Persekutuan, Abdul Haiqal Abdul Aziz yang mengumpul 204.10 markah keseluruhan.