ACARA Muaythai melabuhkan tirai semalam menyaksikan kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) meraih empat pingat emas pada hari terakhir sukan itu dipertandingkan, namun yang menariknya, dua emas dan satu gangsa disumbangkan ‘Rumijam Brothers’.
Tiga beradik Insyad, Wassof dan Hatem bin Rumijam, masing-masing berusia 16, 19 dan 22 tahun beraksi cemerlang dalam kategori berat badan masing-masing sekali gus membantu WiPers menambah koleksi pingat dan kembali mengejar Johor dipuncak pendahulu senarai pingat.
Pada Rabu, Insyad meraih pingat emas dalam kategori 42kg-45kg, Wassof emas kategori 48kg-51kg dan Hatem gangsa kategori 57kg-60kg.
Hatem berkata, dia mempunyai lima adik-beradik dan semuanya lelaki.
“Sebenarnya, kami lima beradik semua bermain Muaythai dan dua abang saya tidak mengambil bahagian kerana sudah lebih umur, Fakhkrurozzi 26 dan Haitham 24.
“Namun, abang sulung saya Fakhrurrozi kini menjadi jurulatih kami. Dia juga bekas atlet Muaythai kebangsaan.
“Haitham juga aktif bermain Muaythai seperti kami dan dia turut terlibat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) bersama WiPers apabila menjadi pengurus media sukan Muaythai,” katanya.
Pendek kata, ‘Five Rumijam Brothers’ terlibat secara langsung dalam sukan Muaythai bagi kontinjen WiPers kali ini.
Hatem berkata, dia mula bermain Muaythai pada usia 13 tahun apabila dia, Wassof dan Insyad selepas sering mengikut Fakhrurrozi dan Haitham menjalani latihan di Puchong.
Meskipun dia hanya menyumbang pingat gangsa berbanding dua adiknya yang meraih pingat emas, Hatem tetap bersyukur dan bangga kerana sudah lama menunggu saat itu, selepas dia tidak dapat beraksi pada SUKMA 2018 di Perak.
Menjelang Sukma 2018, saya berdepan insiden yang mengharukan yang saya anggap ada pahit dan manisnya.
“Pahit kerana saya yang sudah melakukan persiapan rapi, tidak dapat beraksi kerana terlibat kemalangan sewaktu latihan dan manisnya adalah saya masih hidup,” kata Hatem.
Menurutnya, sebelum Sukma 2018, dia sedang berjoging untuk turunkan berat badan bagi mengambil bahagian mengikut kategori berat badan ayng ditetapkan jurulatih, namun malang menimpa apabila dia pengsan ketika berjoging lalu secara tidak sengara dilanggar kereta yang mengirinya berlatih dan diseret beberapa meter.
Katanya, dia akibat kemelangan di Jalan Kebun itu, dia mengalami cedera teruk pada bahagian belakang .
“Saya dalam persiapan menyertai acara professional bulan November nanti di Putrajaya membabitkan kelab-kelab Muaythai di Malaysia. Jadi, saya perlu dapatkan rawatan dan kembali cergas kerana saya alami kecederaan pada jari tangan, tendon koyak ketika menyertai Sukan Universiti Asean (AUG) dan kecederan itu bertambah teruk kerana saya terus menyertai Sukan Antara Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) ,” katanya.