PEMAIN sepak takrawa Sukma Selangor, Zuhri Muhammad Zin mengakui punca kegagalan Selangor menempatkan diri di perlawanan akhir adalah disebabkan dia gagal menyerap tekanan individu kerana mata begitu rapat.

Selain itu, faktor nasib dilihat menjadi pemisah kepada kemenangan tipis yang berjaya diraih Terengganu meskipun Selangor beberapa kali berjaya mendahului lawan.

Pemain berusia 21 tahun itu akui menggunakan cara perang psikologi sedikit sebanyak membantunya menghilangkan kegugupan ketika berdepan lawan di gelanggang.

“Punca saya rasa, mungkin di hujung-hujung perlawanan, gagal menyerap tekanan terutama saya. Saya banyak buat kesilapan mudah.

“Kita sebenarnya bergerak sebagai pasukan underdog. Kita tahu Terengganu juara bertahan. Memang bersedialah dari segi persiapan awal dan latihan pusat cuma nasib tidak menyebelahi kami.

“Perang psikologi itu adalah untuk menghilangkan gemuruh dan sebagainya. Selepas ini, saya akan fokus kepada STL,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Selepas ini pemain tersebut akan memberi fokus kepada saingan domestik Sepak Takraw League (STL) bersama pasukan Selangor dan kebangsaan.

Untuk rekod, dia berjaya meraih perak Sukan SEA Hanoi Vietnam 2021 dan Asian University Games (AUG) di Thailand pada 2022.