TUMPUAN terhadap pembangunan atlet di peringkat akar umbi hendaklah dilakukan sama rata tanpa mengira gender.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuat saranan itu kepada setiap persatuan sukan dan Majlis Sukan Negeri (MSN) kerana tidak mahu wujud perbezaan ketara dari segi bilangan atlet.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, akibat kekurangan atlet pada jantina tertentu menyaksikan banyak acara sukan pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, terpaksa digugurkan terutamanya dalam kategori wanita.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu persatuan sukan dan Majlis Sukan Negeri memberi fokus sama rata terhadap pembangunan atlet wanita. |FOTO KBS

Katanya, ketika beliau mempengurusikan jawatankuasa tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak Selasa lalu, perkara itu telah dibangkitkan.

“Penglibatan wanita (di Sukma) selalunya tidak cukup, ini disebabkan pelaburan hanya fokus kepada pasukan lelaki,” katanya, kepada ketika melancarkan Pertunjukan Science in Service of Medals di Universiti Malaya, semalam.

Ujar Hannah, semua kempinan persatuan sukan dan MSN memastikan dalam perancangan perbelanjaan tidak fokus kepada pasukan lelaki sahaja.

“Persatuan sukan dan MSN tidak boleh fokus kepada lelaki sahaja, ia perlu sama adil dan mempunyai kepentingan sama-sama,” katanya.