THE Pocket Rocket Women menganggap nasibnya tidak dapat berhari raya bersama keluarga, cukup berbaloi apabila tanpa disangka layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berkata, meskipun tidak membawa pulang sebarang pingat di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada, Nurul Izzah mengganggap menamatkan perlumbaan keirin pada kedudukan kelapan keseluruhan, sebagai pencapaian terbaik diraihnya.
“Apabila dapat layak ke Olimpik, saya rasa raya ini terubat, pergi (Kanada) tidak kosonglah… ada hasil walau dapat tempat kelapan sahaja.
“Sebelum ini saya tidak pernah melepasi pusingan pertama (keirin) dan apabila berlumba ke pusingan terakhir, ia adalah pencapaian terbesar saya,” kata Nurul Izzah, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Skuad berbasikal trek negara tiba di KLIA hari ini.
Turut hadir menyambut ketibaan pelumba negara, pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill.
Dia tiba bersama seorang lagi pelumba negara, Muhammad Ridwan Sahrom dan ketua jurulatih, John Beasley.
Tambah Nurul Izzah, dia juga dapat rasakan perasaan seseorang yang layak ke temasya sukan terbesar dunia, yang sebelum ini tidak pernah dialaminya.
“Perasaan sangat gembira, tak jangka langsung. Apabila saya ke pusingan akhir perlumbaan (7-12), orang mula ucapkan tahniah dapat layak ke Olimpik dan saya mula terfikir… ooo ini rasanya dapat layak ke olimpik, bangga sangat.”

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih pengalaman berharga di Milton, Kanada.
Berbeza dengan perlumbaan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India, Februari lalu, pelumba berusia 21 tahun yang merangkul dua emas ketika itu mula beroleh keyakinan berlumba dengan pelumba-pelumba berkelas dunia.
“Saya mempelajari perkara yang amat bermakna, tidak boleh takut dengan sesiapa, mereka manusia, saya juga manusia.
“Dulu saya terlalu berbangga dengan mereka sampaikan saya berasa rendah diri, sebenarnya boleh je (saingi) Cuma perlu bijak, jika kita tidak sekuat mereka, gunakan strategi,” ujar Nurul Izzah.
Dia berlumba bersama juara dunia Mathilde Gros dari Perancis di separuh akhir, manakala final 7-12 pula, dia memperbaiki kayuhan dengan mengekori rapat pemenang pingat emas acara pecut Olimpik Tokyo, Kelsey Mitchell dari Kanada, untuk menduduki tempat kelapan.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbaju hitam) mengekori rapat pelumba Kanada, Kelsey Mitchell pada pusingan akhir 7-12 di Piala Negara-Negara UCI, Milton, Kanada.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad berbasikal negara, John Beasley, berkata aksi di Olimpik Paris akan menjadi persiapan terbaik buat Nurul Izzah untuk menghadapi Sukan Olimpik 2028.
“Dia adalah persiapan kita untuk projek LA 2028, dia akan pergi ke Olimpik Paris untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman. Dia adalah pelumba yang sangat berpotensi.
“Dia berada pada usia yang sama dengan Datuk Azizulhasni (Awang) ketika mula mencipta nama… bertubuh kecil dan eksplosif. Kami memberikan dia pendedahan yang diperlukan dan ia kini sudah mula membuahkan hasil yang positif.
“Tiada harapan besar untuk Izzah di Paris, jika dia dapat pingat ia sesuatu yang hebat tetapi sasaran utama kami adalah Olimpik 2028,” kata Beasley.
Untuk rekod, Nurul Izzah adalah wanita kedua negara beraksi di pentas Sukan Olimpik selepas Fatehah Mustapa yang beraksi dalam acara keirin di Olimpik London 2012, dan pecut di Rio 2016.
Namun, kali ini Nurul Izzah menjadi pelumba trek wanita pertama layak ke Olimpik dalam dua acara iaitu keirin dan pecut.