BEKAS pasangan nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, terus kabur dalam mencari tahap prestasi terbaik setelah ditunjuk jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini.

Beregu lelaki profesional negara itu gagal mengatasi gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy buat kali kedua sekaligus bakal merencatkan kedudukan mereka dalam kelompok Top 10 dunia.

“Sekurang-kurangnya kami telah mencuba yang terbaik. Tiada siapa yang berputus asa dan kami berjuang hingga ke mata terakhir,” kata Sze Fei.

Sementara itu, Arif Junaidi-Yap Roy King turut tersingkir apabila tewas kepada pilihan ketiga, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (India).

Pasangan negara itu tewas dalam straight games 18-21, 11-21 dalam tempoh 39 minit.

“Sebenarnya yang paling menyukarkan adalah apabila lawan mampu menerima dan memulangkan setiap pukulan kami dengan baik. Apabila tekanan diberikan tetapi tidak menjadi, keadaan itu membuatkan permainan kami jadi lebih sukar,” kata Arif.