PENCAPAIAN beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, dianggap cemerlang sepanjang Kejohanan Badminton Asia (BAC) namun kendur di final.
Begitupun, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pencapaian sebagai naib juara di Ningbo, China, semalam, satu perkembangan baik.
Rexy mahu pasangan ranking ke-19 dunia itu, tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian berkenaan.

Rexy Mainaky, Pengarah Kejurulatihan ABM mahu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani lebih konsisten selepas ini.
“Pencapaian mereka sangat baik sepanjang kejohanan. Cuma di set ketiga pada aksi final semalam, mereka tidak berani dan teragak-agak.
“Saya tidak mahu terlalu memuji kerana paling utama adalah mereka konsisten selepas ini. Saya bimbang jika terlalu dipuji akan besar kepala,” kata Rexy.
Pada kejohanan itu, Sze Fei-Nur Izzuddin memulakan langkah positif, menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, juara Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan dan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam laluan mereka ke final.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut menjadi taruhan skuad Piala Thomas negara di Chengdu, China Mei hadapan.
Bagaimanapun, pasangan itu terpaksa akur dengan gelaran naib juara apabila tewas di tangan beregu nombor tiga dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 21-15, 10-21 pada final.
Dalam pada itu, Rexy percaya sekiranya Izzuddin-Sze Fei mampu menampilkan prestasi seperti yang ditunjukkan di BAC sejak awal tahun ini, mereka berpeluang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Kalau dari awal tahun mereka sudah mula menunjukkan prestasi seperti ini, sudah tentu mereka layak ke Olimpik, tetapi sudah terlambat,” katanya.