“SAYA bangun tidur pagi tadi rasa macam, eh aku mimpi ke?”
Itulah perasaan yang dikongsi oleh juara boling padang dunia, Nor Farah Ain Abdullah menganggap kemenangan pada Kejuaraan (Indoor) Boling Padang Dunia 2024 di Guernsey, United Kingdom adalah seperti satu mimpi indah.
Aksi yang menghimpunkan atlet-atlet berbakat dari serata dunia itu telah bermula pada 21 hingga 27 April lalu, dan menyaksikan Farah Ain muncul sebagai ratu boling padang dalam kategori individu wanita, dan juga memenangi tempat ketiga dalam acara beregu campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple.
Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran hebat terutama atlet dari Malta, Farah akhirnya dapat mematahkan strategi yang digunakan oleh lawannya itu pada saingan akhir kejohanan, sejurus meletakkan dirinya di tempat pertama.
Ketika FLASH SUKAN menghubungi atlet berusia 23 ini, Farah Ain sedar kemenangan ini akan menjadi sejarah buat Malaysia, malah juga satu kenangan manis buat dirinya setelah berjaya memahat nama di kejohanan indoor pertama, dan juga dalam acara individu wanita sulungnya.
“Ini kemenangan yang benar-benar tidak dijangka kerana kali pertama saya mewakili kategori individu wanita ini dan terus dapat juara.
“Atlet di sana juga bukan calang-calang, dan terutama dari Malta kerana dia seorang yang ‘kaki draw’. Tetapi rezeki tetap menyebelahi saya dan Alhamdulillah saya dapat tepis kehebatan dia.
“Jadi, boleh dikatakan saya tidak menyesal kerana bertukar bidang dari sukan kayak kepada sukan boling padang kerana ayah saya tidak suka saya berkayak. Mungkin kerana agak berbahaya bagi saya,” kata Farah kepada FLASH SUKAN.
Farah Ain mula aktif dalam sukan boling padang pada tahun 2012 apabila dirinya membuat keputusan untuk meninggalkan aktiviti sukan berkayak sejak zaman sekolah rendah lagi.
Untuk rekod, Farah sebelum ini pernah meraih emas di Kejohanan Boling Padang Asia ke-15, Pattaya Thailand menerusi acara Fours dan seterusnya pingat perak dalam acara triple.