TAWARAN menggantikan Victoria sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 kepada Kuala Lumpur oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), bukanlah satu tawaran eksklusif.

Ini berikutan Singapura mendapat tawaran yang sama dan difahamkan negara jiran itu sedang mempertimbangkan untuk menggantikan Victoria.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, tawaran itu terbuka kepada negara yang berminat dan Malaysia mengambil peluang tersebut untuk menawarkan diri, kerana pernah menjadi tuan rumah temasya sama pada tahun 1998.

Nazifuddin mengesahkan bahawa Singapura sedang menimbang perkara tersebut atau mungkin ada cadangan lain Malaysia bekerjasama dengan negara itu untuk menjadi tuan rumah bersama.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib yakin penganjuran Sukan Komanwel 2026 tidak menagih perbelanjaan besar berikutan setahun selepas itu, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan Sea 2027.

Bagaimanapun katanya, urusan tersebut terserah kepada kerajaan untuk membuat pertimbangan sebelum memutuskan sebarang keputusan.

“Singapura juga sedang lihat dan mereka fikir ada peluang untuk jadi tuan rumah. Mungkin kita kerjasama atau jika esok Singapura buat keputusan ambil alih jadi penganjur dan kita akan terlepas.

“Mengenai kerjasama serah kepada kerajaan kalau Singapura setuju untuk ambil alih kita akan terlepas. Memang Singapura juga lihat untuk jadi tuan rumah,” katanya kepada media selepas mesyuarat pengurus pasukan ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Wisma MOM, di ibu negara.

Menurut beliau, cadangan Malaysia untuk menjadi tuan rumah mendapat reaksi berbeza kerana umum tidak mengetahui secara terperinci perkara berkenaan.

Beliau berkata, menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 tidak sama seperti Malaysia menganjurkannya pada edisi 1998 kerana temasya kali ini dianjurkan dalam skala yang lebih kecil mengikut model Sukan Sea.

“Model sudah berubah dan CGF nak tengok model yang sesuai. Tak perlukan perkampungan sukan baharu, itu sebab kos Victoria melambung tinggi. Penginapan atlet pula di hotel dan guna fasiliti sukan sedia ada.

“Malah sukan yang bakal dianjurkan juga sekitar 13 hingga 15 jenis berbanding Sukan Sea 40. Begitu juga dengan jumlah atlet dan pegawai sekitar 5,000 untuk Sukan Komanwel, manakala Sukan SEA melibatkan penyertaan 10,000 orang,” katanya.

Beliau berkata, dana 100 juta pound (RM602 juta) yang dijanjikan CGF akan disalurkan pada tahun ini, namun penggunaan wang tersebut mungkin akan bermula pada 2026.

Mengulas mengenai bajet, beliau berkata, kos yang diperlukan bergantung kepada peruntukan kerajaan untuk menganjurkan Sukan SEA 2027 kerana Sukan Komanwel berlangsung setahun sebelum kejohanan tersebut.

“Tiada kos untuk perkampungan sukan dan fasiliti sukan, cuma akan melibatkan perbelanjaan logistik dan bajet penganjuran. Perkara ini boleh dibincang dan kita akan anjur mengikut dana CGF dan bajet yang diberikan kerajaan untuk jadi tuan rumah Sukan SEA 2027,” katanya.