PELUANG untuk membuat liputan di Muscat sempena perlawanan ketiga Kumpulan D, Pusingan Kelayakan Piala 2026/Piala Asia 2027 memberikan peluang buat krew FLASH SUKAN melawat beberapa tempat menarik di ibu negara Oman ini.
Kota Muscat yang belatar belakangkan Gunung Hajar dengan kepadatan penduduk sebanyak 1.7 juta ini tidak sesak seperti kebanyakan ibu negara lain bermula dari lapangan terbang hingga ke lebuh raya yang kesemuanya boleh ditempuh dalam kurang dari 20 minit.
Kunjungan semasa bulan Ramadan juga melonjakkan semangat spiritual dan Masjid Agung Sultan Qaboos menjadi pilihan kami untuk melawat dan melihat sendiri kecantikan dan keindahan masjid terbesar Oman yang siap dibina pada tahun 2001.
Masjid dengan kapasiti 20,000 pengunjung itu adalah hadiah kepada negara Oman daripada Sultan Oman sebelum ini, Sultan Qaboos Bin Said sempena ulang tahun ke-30 pemerintahannya dan kini menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke Muscat.
Kami berasa nyaman dan tenang di dalam kawasan masjid yang dikelilingi lima menara yang melambangkan lima rukun Islam dengan menara utama setinggi 90 meter serba kubah yang keemasan dapat dilihat pada sebelah malam.
Dewan solat utamanya mampu menampung 6,500 jemaah pada suatu masa manakala kawalan luar masjid pula dapat menampung lebih 8,000 jemaah sekaligus memberikan keselesaan kepada mereka yang mahu mengerjakan solat.
Kubah setinggi 50 meter pula dihiasi ‘chandelier’ mewah seberat 8.5 tan yang akan menangkap mata sesiapa pun yanh berkunjung ke masjid ini dengan suasana tenang dan dingin di dalamnya juga mengundang rasa syukur dan memuji kebesaran Allah.
Kawasan persekitaran masjid mempunyai sebuah taman yang ditanam pohon tamar yang mekar sekaligus menjadikan gambaran Timur Tengah yang sempurna buat para pengunjung sambil menikmati keindahan masjid terutama ketika matahari terbenam.
Namun begitu, satu perkara yang kami perhatikan adalah masjid ini tidak menganjurkan iftar perdana seperti yang dilakukan masjid-masjid di Malaysia tetapi ianya dilakukan di masjid-masjid komuniti berhampiran kawasan perumahan.