SERONOK dan teruja apabila Terbuka Malaysia 2023 dinaikkan status ke Super 1,000, namun status kejohanan sahaja dinaik taraf sedangkan prestasi pemain negara di kejohanan sulung kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2023 itu, tidak setaraf kejohanan.

Terbuka Malaysia yang mendapat tajaan besar dari syarikat multinasional negara, Petronas, diumum naik ke status 1,000 pada Jun tahun lalu, dan sejak itu pastinya penganjur Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mula berbunga-bunga, apatah lagi dengan prestasi pemain yang mula menunjukkan sinar dengan gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakar sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama muncul juara dunia pada Ogos tahun lalu.

Rasa megah bertambah apabila beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah merangkul kejuaraan Terbuka Perancis, sekali gus menjadi wanita pertama negara memahat nama di kota Paris itu.

Malah kemunculan Lee Zii Jia yang meninggalkan BAM dan muncul juara Kejohanan Badminton Asia, membuatkan rasa teruja itu bertambah megah.

Tewas di pusingan kedua Terbuka Malaysia, hanya Aaron Chia tampil ke sidang media.

Namun yang dimegahkan pada 2022 bertukar menjadi antara perkara paling menyedihkan di Terbuka Malaysia 2023.

Baik Aaron-Sooi Yik, Pearly-Thinaah dan Zii Jia, ketiga-tiga mereka tersingkir seawal pusingan pertama.

Malah, menjelang berakhirnya hari Jumaat, ‘Terbuka Malaysia’ hanya tinggal nama negara di hujungnya, sedangkan tiada wakil, tiada pemain warganegara Malaysia melepasi peringkat suku akhir kejohanan Jelajah Dunia pertama musim ini.

‘Miskin’ sangatkah kita. Setelah BAM menyediakan segala kemudahan bertaraf dunia, pencapaian edisi 2015 berulang lagi.

Dengan perebutan tempat pada kelayakan Olimpik semakin hampir, sejauh mana kualiti yang ada pada pemain negara mampu menggalas misi, bukan sekadar menyertai Olimpik tetapi dengan sasaran mencabar pingat di Paris 2024 nanti.

Pergerakan angin dalam Axiata Arena dan faktor tekanan beraksi di hadapan penyokong sendiri, menjadi amalan untuk mengesampingkan kesungguhan yang menipis dalam gelanggang.

Namun peminat tetap setia, mempertahan idola dan berhabis simpanan dibelanja, demi membeli tiket bernilai ‘dewa’ yang akhirnya, pemain kita tidak bersisa hingga ke final, walau seorang tiada.

Ironinya, laga di Axiata Arena umpama suaka buat pemain antarabangsa lain. Viktor Axelsen (Denmark), Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia), beregu wanita Chen Qing Chen-Jia Yi Fan  (China) dan beregu campuran Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand), Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong (China) dan Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun), bukan hanya konsisten setiap kali ke Malaysia malah mereka meningkatkan standard.

Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand) masih unggul di ranking nombor 1 dunia.

Malah dalam satu sidang media, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sendiri berasakan pemainnya terutama ‘bintang’ beraksi bagai tiada jiwa di atas gelanggang.

Apa agaknya pemain mahukan? Adakah cukup dengan sokongan tidak berbelah bahagi peminat yang mahu mereka dipuja walaupun prestasi tercampak ke laut?

Jika begitu, sia-sialah mereka mendapat khidmat bekas juara dunia dan olimpik sebagai jurulatih, mendapat sokongan pakar dari pelbagai aspek, berlatih di pusat latihan serba lengkap dan mempunyai pendapatan lumayan selain kebajikan tidak terabai.

Di sebalik kegagalan, mujur ada sinar yang ditunjukkan gandingan campuran yang baharu digandingkan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing dan perseorangan lelaki Ng Tze Yong.

Apa yang pasti, lima pemain ini masih merendah diri dan paling menarik sikap pemain beregu campuran yang boleh disifatkan berada di ‘jalan yang benar’.

Sikap optimis dan berani meletakkan matlamat, suatu yang sudah lama hilang dalam diri pemain negara… yang katanya takut meletakkan sasaran akan membebankan diri.

Contohnya Tang Jie yang menyuarakan tidak berpuas hati dengan pencapaian gagal ke separuh akhir, kerana dia dan pasangannya mahu mara lebih jauh biarpun Terbuka Malaysia 2023 bukan calang-calang cabarannya.

Mungkin itu menjadi sebab mereka menjadi satu-satunya wakil dari BAM yang ke suku akhir.

Pemain yang jelas dengan matlamat akan cuba mengejar matlamat mereka sebaik mungkin.

Banyak lagi perlu dilakukan sebelum pemain badminton Malaysia layak dinamakan sebagai prospek pingat di Paris 2024 nanti.