JIKA sebelum ini menjadi antara atlet terakhir memasuki Program Road to Gold (RTG) bagi Sukan Olimpik Paris, jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan amat teruja apabila namanya terpilih sekali lagi bagi RTG Los Angeles 2028.
Aniq menganggap keberadaannya dalam program itu sebagai peluang besar untuk merancang lebih awal dan fokus capai prestasi terbaik.
“Alhamdulillah, sangat bersyukur. Sistem sokongan dalam RTG memang lengkap dan sangat membantu. Ia memberi saya motivasi tambahan untuk terus konsisten dalam setiap kejohanan,” kata Aniq yang pernah beraksi di Olimpik Paris 2024 dalam kategori 61kg.
Walaupun program RTG menetapkan syarat ketat untuk kekal, Aniq tidak menganggap perkara itu sebagai satu halangan.
Malah, dia melihat tempoh empat tahun menjelang LA 2028 sebagai ruang terbaik untuk rancang dan capai sasaran lebih tinggi.
Kalendar tahun ini juga padat buat Aniq dengan beberapa kejohanan penting termasuk Kejohanan Asia di China (Mei), kelayakan Komanwel, Kejohanan Dunia di Norway (Oktober) dan Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.
Aniq merupakan satu-satunya atlet angkat berat yang terpilih dalam senarai 16 atlet RTG yang diumumkan semalam, bersama jaguh-jaguh seperti Aaron Chia, Soh Wooi Yik, dan Lee Zii Jia. Dia kini lebih bersedia daripada sebelumnya untuk menyusun langkah ke pentas Olimpik sekali lagi.