[KOMENTAR]

TIBA-tiba saya tertawa seorang diri sebaik mendengar wisel penamat perlawanan akhir antara Malaysia dan Korea Selatan, pada saingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah.

Bukan kerana tidak percaya, bahawa Speedy Tigers akhirnya menamatkan kemarau lebih 38 tahun untuk menjulang trofi kejohanan yang bermula 1983 itu, tapi memang ‘style saya untuk tidak mempamerkan perasaan teruja di sepanjang kejohanan.

Bertuah pulak rasanya diri ini menyaksikan kejuaraan milik Malaysia, apatah lagi tiba-tiba bos saya beritahu, “Esok pagi bertolak ke Ipoh, buat liputan latihan dan perlawanan akhir Speedy Tigers”, mahu tak mahu saya bergerak ke utara tanah air, selepas sekian lama tak pernah saya lawati, lain udara kat sana kalau nak banding dengan Kuala Lumpur.

Piala Sultan Azlan Shah ni bukan calang-calang kejohanan, kerana kejohanan berstatus jemputan antarabangsa ini pada awalnya dianjurkan dua tahun sekali sejak 1983, namun mendapat tempat dalam kalangan pasukan ternama sehingga dijadikan kejohanan tahunan bermula 1998.

Australia 10 kali menjuarai kejohanan ini, India (5), Pakistan (3), Korea Selatan (3), Jerman (2), Great Britain dan New Zealand (2), Argentina, Belanda dan pasukan kita Malaysia, masing-masing sekali menjulang trofi keramat Piala Sultan Azlan Shah.

Selain itu, Jepun, China, Kanada, Poland, England, Ireland, Afrika Selatan, Great Britain, Mesir, Belgium dan Sepanyol, pernah menyertai kejohanan ini.

Apa lagi nak diceritakan mengenai prestij kejohanan ini?

Kejayaan muncul juara Piala Sultan Azlan Shah adalah berita terbaik ketika dihadirkan skuad kebangsaan selepas muncul naib juara Piala Asia dan layak ke Piala Dunia di Bhubaneswar, India, Januari tahun hadapan.

Tetapi, fikir punya fikir, tidak mudah untuk pemain, jurulatih dan pasukan sokongan mencapai tahap ini, dengan ketiadaan perlawanan bertaraf antarabangsa terutamanya pada musim pandemik.

Mereka membuktikan mampu memberi keputusan yang baik apabila diberi peluang.

Jika dikenang kembali, setiap kejayaan ini hadir selepas perancangan strategik ketua jurulatih A.Arulselvaraj yang merencana perlawanan persahabatan antarabangsa menjelang kejohanan penting, seperti tiga menentang Australia sebelum saingan Piala Asia, dan empat perlawanan di Eropah menentang Belgium serta Perancis sebelum menghadapi Piala Sultan Azlan Shah.

Terbukti skuad kebangsaan memerlukan perlawanan bertaraf dunia untuk pemain membiasakan diri dengan perlawanan berintensiti tinggi.

Tapi sukan hoki bukanlah sukan yang dimewah-mewahkan di sebalik pencapaian yang kini di ranking ke-10 duina.

Tanpa bajet besar, mereka berjaya melakukannya namun jika mahukan sejarah lebih besar di Piala Dunia nanti, Kerajaan harus memberi keutamaan kepada hoki.

Dah masuk musim pilihanraya umum (PRU) ni, belum lagi kedengaran janji-janji untuk sukan, tak boleh jadi modal raih undi agaknya.

Apapun, saya berharap sangat sesiapa yang bakal menjadi Menteri Belia dan Sukan baharu dalam kabinet nanti, dapat menggunakan kecerdasan fikiran untuk memberi peruntukan tambahan.

Tidak, bukan untuk mewahkan pemain, tetapi untuk digunakan untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa selain menyertai kejohanan-kejohanan di luar negara dan juga mendapatkan lebih ramai khidmat sokongan pakar.

Mungkin ‘Pak’ Menteri Belia dan Sukan bersama Pak Menteri Kewangan Malaysia yang baharu boleh duduk semeja bagi membincangkannya nanti.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ganjaran menanti juara Piala Sultan Azlan Shah

Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia juara selepas 38 tahun