JURULATIH Carlisle United, Mike Williamson menerima surat pemecatan pada Isnin.

Kelab itu mengeluarkan kenyataan rasmi yang ringkas mengenai pemecatan tersebut.

Mike Williamson sebelum ini dilihat berada di landasan yang baik selepas cemerlang bersama Gateshead dan MK Dons.

Carlisle United membuat pendekatan dan membayar pampasan kepada MK Dons untuk mendapatkan khidmatnya pada September 2024.

“Kelab Bola Sepak Carlisle United mengesahkan bahawa ketua jurulatih Mike Williamson telah dilepaskan daripada tugasnya pagi ini dan meninggalkan kelab serta-merta,” kata laman rasmi kelab.

Dia memulakan tugas dengan baik apabila membawa Carlisle United meraih kemenangan ke atas Swindon dalam perlawanan pertamanya dalam Liga Dua.

Namun, dalam 21 perlawanan liga seterusnya, pasukan hanya mencatat tiga kemenangan, enam keputusan seri, dan tewas sebanyak 12 kali.

Kini, Carlisle United berada di tangga tercorot Liga Dua, lima mata di belakang zon selamat.