KELAB Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) enggan dilabel sebagai pasukan pelengkap jadual bagi saingan Liga Malaysia 2023 yang bakal bermula hujung Februari ini.
Tidak mahu dilihat sebagai lubuk mata bagi pasukan lawan, The Cops tekad memberikan saingan pada pasukan lawan walaupun menyedari jurang perbezaan yang ada.
Pengendalinya, Azzmi Ab Aziz berkata, walaupun hadir ke Liga Super bukan atas tiket merit namun mereka tetap mengimpikan saingan sengit dan kejayaan pada setiap perlawanan.

PDRM FC turut menjalani beberapa perlawanan persahabatan sebagai aksi pemanas badan şebelum saingan sebenar bermula.
“Kami bukan pasukan yang mewah dengan bayaran gaji pemain puluh-puluh ribu, pengurusan juga realistik dengan sasaran yang diberikan.
“Aksi Sang Saka Biru bukanlah sekadar pelengkap jadual Liga Super 2023, begitu juga bukan lubuk mata yang menjadi pasukan belasahan lawan,” ujarnya dihubungi FLASH SUKAN pada Jumaat.
Bekas jurulatih interim Kedah musim 2018 turut menjelaskan, rata-rata pemain yang memperkuatkan pasukan terdiri dari pemain baharu dan mengekalkan tiga pemain lama.
“Lebih kurang 10 atau 12 pemain baharu yang kita perkenalkan kali ini terdiri dari anggota PDRM dan pemain lama termasuklah enam pemain import yang akan memperkuatkan pasukan.
“Pemain telah dimaklumkan apabila beraksi menentang pasukan Liga Super sudah pasti akan ada perbezaan, mereka memahami situasi ini dan tekad untuk memberikan saingan pada setiap perlawanan,” katanya.
Musim ini PDRM FC hanya mengekalkan seorang pemain import sedia ada iaitu pemain tengah bertahan dari Jordan, Fadi Awad.
Sang Saka Biru turut diperkuatkan dengan bekas pemain importnya iaitu Bruno Suzuki, Uche Agba serta penampilan pertama tiga pemain import iaitu pemain pertahanan kelahiran Nigeria, James Okwuosa, pemain tengah kelahiran Liberia, Marcus Macauley dan pemain kebangsaan Myanmar, Kyaw Min Oo.