DATUK Azizulhasni Awang menimang cahaya mata keempat beberapa minggu lebih awal dari jangkaan, apabila isterinya Datin Athiah Ilyana Abd Samat melahirkan bayi di sebuah hospital di Melbourne, Australia, pagi ini.
Jaguh berbasikal trek negara itu berkongsi kegembiraan di laman sosial miliknya, Facebook dan Instagram.
Begitupun, seperti biasa setiap kali menyambut kelahiran baharu, pemilik gelaran The Pocket Rocketman itu masih berteka-teki mengenai jantina anaknya.
“Syukur isteri yang tersayang @tyailyana memberikan hdiah hari lahir yang sangat bermakna. Hadiah yang tidak disangka ini hadir beberapa minggu awal dan memberi kejutan besar buat kami sekeluarga,” kata Azizulhasni menerusi hantaran di Facebook dan Instagram.
Ironinya, bayi keempat ini lahir pada tarikh yang sama dengan tarikh lahir pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu, 5 Januari.
Tentunya amat bermakna buat Azizulhasni menyambut ulang tahun kelahiran ke-36 tahun ini dan keterujaannya itu diceritakan menerusi laman sosialnbya, “Bermula dengan menemani isteri untuk pemeriksaan mingguan dan diikuti dengan doktor memberitahu yang baby sudah tidak sabar untuk keluar.
“Maka berakhirlah kami berdua di bilik bedah hanya beberapa jam selepas itu. Alhamdulillah syukur isteri dan baby sehat walafiat dan dilindungi oleh Allah swt.”
Azizulhasni berada di Melbourne sebagai persiapan awal menjelang Olimpik Paris 2024, dengan menyertai siri perlumbaan di sana, selain memastikan anak-anaknya meneruskan pembelajaran di Australia.
“Masyaallah Tabarakallah sekarang saya adalah ayah kepada 4 orang anak, semoga Allah swt memberikan balasan syhurga kepada isteri yang banbyak berkorban. I Love you so much sayang.
“Agak-agak korang baby boy ke girl kali ini?”
Umum mengetahui Azizulhasni masih ternanti-nantikan anak lelaki selepas kelahiran ketiga pada 15 Februari 2022, Athiah Ilyana melahirkan seorang lagi bayi perempuan.
Tahniah Azizulhasni, semoga anak keempat yang berkongsi tarikh lahir dengannya, membawa tuah dan menambah semangat untuk jaguh negara ini meraih pingat emas pertama negara di Olimpik Paris.