GELARAN ‘Shah The Terminator’ diberikan Datuk Azizulhasni Awang kepada rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, bukan sekadar label, sebaliknya satu lambang yang cukup sinonim dengan semangat pelumba berasal dari Muar, Johor itu.

Selepas mengharungi detik dramatik, terlibat perlanggaran ngeri membabitkan lima pelumba di separuh akhir, sehingga melambung, terhantuk pada dinding dan meneruskan kayuhan menggunakan basikal ‘cacat’ tanpa pelana, keinginan Shah Firdaus untuk beraksi di final keirin, Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023, cukup luar biasa.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom meneruskan kayuhan selepas terlibat perlanggaran dalam acara keirin (separuh akhir).

Kemalangan itu adalah yang ketiga dialaminya tahun ini selepas Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Jakarta (Februari) dan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong I, malah tiga basikal utama dan simpanannya juga sudah musnah.

“Di awal separuh akhir tak ada masalah. Apabila Jepun membuat langkah, kayuhan saya memang baik tetapi tiba-tiba saya tak tahu apa berlaku… rupanya pelumba China itu tersilang tayar dengan pelumba Jepun dan kami berlima ‘terbang’.

“Saya nak habiskan perlumbaan saja. Walaupun nombor enam, hanya nakkan mata saja, misi nak kumpul mata Olimpik. Saya ambil basikal semula, saya tak tahu apa berlaku pada basikal, hanya kayuh saja. Tapi saya tak boleh tekan kaki saya, basikal saya ranap teruk tetapi nasib boleh gerak lagi (sehingga garisan penamat),” katanya.

Pada penamat perlumbaan separuh akhir, keputusan ditentukan melalui photo finish sebelum Shah Firdaus dan Sergey Ponomaryov layak ke final apabila bersama-sama melintasi garisan penamat.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak sedar pelana basikalnya sudah tiada dan duduk di atas batang gentian karbon, untuk menamatkan saingan separuh akhir acara keirin.

Kerosakan teruk basikalnya menyebabkan Shah Firdaus terpaksa menggunakan basikal prototaip pertama untuk Sukan Olimpik Tokyo, yang tidak biasa digunakannya, untuk menghadapi perlumbaan final keirin.

“Saya rasa memang tahun ini cukup mencabar buat saya. Saya crash dua kali dan kedua-dua basikal saya total loss,” kata Shah Firdaus.