AKSI panas Derby della Mole antara Juventus dan Torino berlangsung penuh emosi dan ketegangan. Dalam perlawanan ini, kedua-dua jurulatih, Thiago Motta dari Juventus dan Paolo Vanoli dari Torino, telah diarah keluar padang oleh pengadil pada babak kedua.

Pertemuan sengit ini berlangsung pada minggu ke-20 Serie A musim 2024/2025 di Stadium Olimpico Grande Torino pada Ahad dengan keputusan berakhir seri 1-1.

Juventus memulakan aksi dengan lebih baik apabila Kenan Yildiz menjaringkan gol pertama, memberikan kelebihan kepada pasukannya. Walau bagaimanapun, Torino bangkit sebelum tamat separuh masa pertama dengan jaringan Nikola Vlasic, sekali gus menyamakan kedudukan.

Gol tersebut menyuntik semangat kepada Torino untuk terus menekan Juventus pada babak kedua.

Football Italia melaporkan, ketegangan memuncak pada minit ke-55, apabila berlaku insiden yang mencetuskan kekecohan. Peristiwa bermula apabila pemain Torino memohon agar tindakan tegas dikenakan terhadap pemain pertahanan Juventus, Nicolo Savona, selepas melakukan terjahan keras terhadap Yann Karamoh di tepi kotak penalti.

Namun, pengadil Michael Fabbri membuat keputusan bahawa Savona lebih dahulu menyentuh bola sebelum terkena Karamoh. Keputusan ini mencetuskan protes besar-besaran daripada pemain Torino di atas padang serta daripada bangku simpanan mereka.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila Thiago Motta bertindak balas secara emosi di kawasan teknikal, mencetuskan perdebatan panas dengan Paolo Vanoli. Ketegangan itu turut melibatkan beberapa pemain dari kedua-dua pasukan, menyebabkan suasana di padang semakin tidak terkawal.

Melihat keadaan tersebut, pengadil tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah kepada kedua-dua jurulatih, Motta dan Vanoli, memaksa mereka meninggalkan kawasan padang.

Keputusan seri ini menyaksikan Juventus mengutip 33 mata, meletakkan mereka di tangga kelima sementara Serie A. Sementara itu, Torino kekal di tangga ke-11 dengan 22 mata.

Bagi Thiago Motta, pengusiran ini menambahkan lagi kontroversi dalam kerjayanya musim ini, selepas sebelum ini dikenakan penggantungan satu perlawanan akibat insiden ketika bertemu Venezia.