PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim, dilihat meluangkan masa bersama isterinya, Maria Joao Diogo, sempena sambutan hari jadinya yang ke-40 baru-baru ini.
Pasangan itu diraikan di restoran terkenal, Cibo Restaurant, di Wilmslow pada Selasa, tempat yang turut menjadi kegemaran legenda United, Sir Alex Ferguson, serta bekas bintang mereka, Cristiano Ronaldo, yang sebelum ini mengunjungi cawangan restoran itu di Hale.
Walaupun menyambut hari istimewa, Amorim tidak memberikan banyak kelonggaran kepada para pemainnya.
Amorim mendedahkan hanya segelintir pemain United dibenarkan menikmati cuti pada hari tersebut, walaupun pasukannya mencatatkan kemenangan ke atas Fulham pada Isnin sebelumnya.
Langkah tegas ini mencerminkan tahap komitmen tinggi Amorim terhadap usaha memperbaiki prestasi pasukan di Old Trafford.
Sejak mengambil alih tampuk pengurusan dari Erik ten Hag pada November, Amorim menghadapi cabaran besar dalam memperbaiki kedudukan Manchester United yang kini menghuni tangga ke-12 liga.
Dengan rekod tujuh kekalahan dalam 17 perlawanan pertama, United juga mengalami permulaan terburuk di laman sendiri dalam tempoh 131 tahun dalam sejarah kelab tersebut.
Pengendali dari Portugal itu secara berseloroh menyatakan bahawa tempoh singkat bersama United membuatkannya terasa seperti berusia 50 tahun, bukan 40.
Namun, di sebalik tekanan dan prestasi yang kurang memberangsangkan, Amorim tetap meluangkan masa bersama isteri untuk meraikan detik istimewa mereka di restoran yang menjadi simbol kenangan bagi beberapa bintang ternama Manchester United.
Dengan sambutan hari lahirnya, Manchester United diharapkan dapat menghadiahkan kemenangan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Europa menentang FCSB pada Jumaat ini.