PENGURUS Liverpool, Arne Slot, menegaskan kekalahan 2-3 kepada Fulham bukan berpunca daripada sikap terlalu yakin dalam kalangan pemainnya, sebaliknya berpunca daripada beberapa kesilapan pertahanan yang membuka ruang untuk lawan mencuri kemenangan.

Dalam aksi yang berlangsung di Craven Cottage, The Reds kelihatan selesa apabila mendahului menerusi jaringan Alexis Mac Allister, namun Fulham bangkit dengan tiga gol dalam tempoh 14 minit separuh masa pertama hasil kecuaian barisan pertahanan pelawat. Walaupun Luis Diaz berjaya merapatkan jurang pada lewat permainan, usaha Liverpool untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata tetap gagal.

Slot menyifatkan kekalahan itu sebagai satu peringatan tetapi enggan menerima dakwaan bahawa anak buahnya mula rasa terlalu selesa di puncak liga.

Pengurus Liverpool FC, Arne Slot (Sumber Gambar: PA Wire)

“Saya rasa tiada sebab untuk kami rasa terlalu yakin atau selesa. Kami bukan berada di atas liga kerana menang setiap perlawanan dengan margin besar,” tegas pengendali dari Belanda itu.

Menurut Slot, prestasi Liverpool musim ini banyak bergantung kepada usaha keras dan kualiti seimbang dalam pasukan, bukannya kemenangan mudah. Beliau turut menolak faktor keletihan sebagai punca kekalahan dan menyifatkan persembahan separuh masa kedua cukup untuk mencipta lebih banyak peluang, walaupun keputusan tidak memihak kepada mereka.

“Sesiapa yang menonton perlawanan ini tahu kami cipta banyak peluang. Malangnya, kesilapan di awal permainan terlalu mahal buat kami,” tambahnya.

Slot juga tampil mempertahankan ketua pasukannya, Virgil van Dijk, yang dilihat bergelut mengekang kelincahan penyerang Fulham, Rodrigo Muniz, sepertimana yang berlaku ketika menentang Beto dari Everton sebelum ini.

“Muniz dan Beto pemain yang kuat secara fizikal. Tapi saya masih nampak banyak perkara yang Virgil lakukan dengan baik. Dalam 50 atau 60 perlawanan semusim, pasti ada satu dua detik yang bukan terbaik, walaupun untuk pemain sepertinya,” jelas Slot lagi.

Meskipun kelebihan 11 mata Liverpool di puncak liga mula mengecil, Slot tetap yakin barisan pemainnya memiliki kekuatan mental dan keazaman tinggi untuk terus berjuang hingga ke garisan penamat musim ini. -Reuters