TEMPOH sebulan tanpa kejohanan, akan digunakan sebaiknya perseorangan lelaki pertama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Tze Yong menjalani latihan lebih keras.
Menurutnya, regim latihan lebih keras perlu dia tempuhi, dalam usaha mengatasi masalah prestasi tidak konsisten setiap kali menyertai kejohanan berstatus Jelajah Dunia.
“Hari ini saya menang ke atas pemain utama tetapi esoknya saya kalah,” kata Tze Yong.
Situasi itu mahu dielakkan Tze Yong yang enggan terus ‘rebah’ ketika banyak pihak menjangka dia mampu melangkah jauh.
Justeru, pemain ranking ke-15 dunia itu mahu mengubah situasi yang menghimpitnya ketika ini.
“Saya hanya ada tempoh sebulan untuk berlatih bagi persiapan menghadapi kejohanan tahun depan. Jadi, apa yang saya lakukan sekarang adalah berlatih selama empat jam di sebelah pagi dan dua jam di sebelah petang.
“Walaupun saya tak suka melakukannya, tetapi saya perlu buat untuk meningkatkan prestasi saya.
“Saya perlu lebih konsisten, saya boleh menang ke atas pemain utama tetapi esoknya saya kalah kepada pemain ranking lebih rendah,” kata Tze Yong.
Sepanjang musim ini, Tze Yong berjaya mengatasi beberapa pemain utama dunia termasuk pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark pada pusingan kedua Seluruh England, Mac lalu.
Bagaimanapun, sehari selepas itu dia tunduk di tangan pemain China, Li Shi Feng di suku akhir dan situasi sama turut dialaminya dalam beberapa kejohanan lain.
Secara keseluruhan bagi saingan musim ini, Tze Yong mempamerkan peningkatan prestasi yang positif apabila memulakan musim dengan kedudukan ranking ke-28 dunia.
Tze Yong mara ke suku akhir sebanyak tujuh kali tahun ini, dua kali ke separuh akhir dan sekali muncul naib juara di Terbuka Arctic di Vantaa, Finland.
Begitupun, Tze Yong mengakui dia tidak boleh berehat selagi tidak mengesahkan tiket merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Sasaran utama saya adalah Olimpik. Jadi, saya perlu mengekalkan kedudukan ranking saya sehingga tamat pusingan kelayakan pada April tahun depan,” katanya.