PEMAIN baharu naturalisasi negara, Romel Morales tidak terlintas akan menyarung jersi pasukan bola sepak Malaysia selepas mengharungi enam tahun dalam saingan Liga Malaysia.

Dia turut mengakui tidak kisah sekiranya diberikan tanggungjawab beraksi di posisi lain dalam skuad Harimau Malaya.

Pemain kelahiran Villavicencio, Colombia itu memiliki kepakarannya berada di jentera serangan sekali gus mampu menghasilkan impak pada perlawanan di Piala Asia 2023 nanti.

“Apa-apa peranan yang coach Kim Pan-gon mahu saya mainkan, saya akan berikan yang terbaik dan akan cuba menyesuaikan diri dengan posisi terbaik yang diinginkan.

“Beberapa tahun lepas saya bermain di posisi yang berbeza. Jadi ini adalah tugas kami, dan perlu menyesuaikan diri dengan posisi yang berbeza.

“Saya hanya perlu memberikan yang terbaik dan bersedia kerana saya tahu pasukan kebangsaan, mereka adalah pasukan yang berkualiti baik.

“Mereka mempunyai pemain yang sangat bagus. Jadi saya perlu menyesuaikan diri dengan sistem itu dan bersedia untuk mengambil peluang memberikan yang terbaik dan berada di tahap tinggi yang diperlukan oleh pasukan kebangsaan Malaysia,” katanya ditemui pada sesi latihan hari kedua skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.

Bekas penjaring terbanyak Piala Malaysia pada 2021 itu kagum perjalanan pasukan kebangsaan yang melakukan tugas hebat dan dirinya harus berada pada tahap yang sama.

“Saya akan cuba memberi lebih banyak kerana pasukan ini memerlukan program naturalisasi supaya dapat membantu pasukan kebangsaan.

“Saya datang ke sini adalah kerana saya ingin memberi sesuatu yang lebih. Saya tahu pasukan kebangsaan melakukan kerja yang sangat baik dan sudah tentu saya saya perlu bertanggungjawab mengenai perkara ini. Saya tahu keadaan saya dan tahu kedudukan saya sekarang,” katanya penuh harapan.

Morales memulakan kariernya di Malaysia bersama PKNS FC dalam saingan Liga Super 2018 sebelum menjulang Piala Malaysia 2021 dan muncul naib juara Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 bersama KL City.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan saingan Kumpulan E di Doha menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan membuat perhitungan menentang juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.