Oleh Mohd Fariq

TEMPOH lima hari peminat bola sepak tempatan dihidangkan dengan Pestabola Merdeka 2023, kali pertama ia dianjurkan selepas satu dekad, menawarkan pengajaran bagi mereka yang memasang niat untuk muhasabah diri.

Dengan baki tiga bulan sebelum Harimau Malaya beradu kekuatan dalam pusingan akhir Piala Asia AFC 2023 di Doha Januari depan, ternyata Kim Pan-gon berada di landasan yang betul untuk membentuk barisan yang disegani.

Tugasnya bukan mudah tetapi sejak kehadiran Pan-gon menggantikan Tan Cheng Hoe pada Januari 2022, bekas ketua jurulatih Hong Kong itu berjaya menanam sikap dan mentaliti yang positif dalam kalangan pemainnya.

Sejak awal kehadirannya, Pan Gon berusaha meyakinkan pemain negara bahawa mereka memiliki potensi untuk mendominasi permainan tanpa perlu menghormati lawan yang berada di ranking lebih tinggi. Pemain yang disenaraikan ke dalam skuad diberi keistimewaan dengan persekitaran prestasi tinggi serta suasana yang mendorong rasa kekitaan.

Hasilnya Harimau Malaya, andai beraksi dengan ngauman Ultras Malaya, adalah sebuah pasukan yang liat untuk dijinakkan.

Meninjau pemain pilihan Pan-gon, beliau nampaknya sudah mengenal pasti tonggak yang harus menjadi teras pasukannya Januari depan.

Penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi, bek kanan Matthew Davies, bek kiri La Vere Corbin Ong dan Dion Cools harus menjadi pilihan automatik. Satu lagi slot harus diisi Shahrul Saad andai dia cergas selain Khuzaimi Piee.

Dominic Tan harus perbaiki komunikasi dan positioning kerana dua jaringan Tajikistan pada final Selasa dihasilkan di zon pertahanan tengah kiri yang satu ketika diperkuatkan Khuzaimi.

Sama ada Pan Gon menampilkan tiga atau dua pemain di jentera tengah dengan seorang playmaker berposisi No.10, beliau sudah ada kelompok pemain yang boleh memikul tugas mencipta, memberi tekanan dan menghadang.

Nooa Laine, Brendan Gan, Endrick dos Santos, Stuart Wilkin dan Mukhairi Ajmal Mahadi diberi peluang dalam Pestabola Merdeka, tetapi kita menunggu agar kekuatan Syamer Kutty Abba berlari segenap padang kembali semula selepas kecederaan, begitu juga dengan sentuhan kreatif Nor Azam Azih bagi membawa dimensi berlainan untuk membekalkan peluru kepada jentera pembedil.

Pan Gon memiliki opsyen di bahagian sayap. Arif Aiman Hanapi boleh beraksi di kedua-dua penjuru dan sedang diasuh menggalas tanggungjawab lebih besar sebagai playmaker di belakang No.9, iaitu Darren Lok. Akhyar Rashid, Faisal Abdul Halim dan Safawi Rasid serta Paulo Josue pula memberi Pan Gon pilihan di bahagian sayap.

Selain mengamalkan corak hantaran dekat di zon serangan, anak didik Pan Gon mempamerkan peningkatan mengambil posisi yang mengancam lawan ketika set-piece. Situasi bola pegun sama ada sepakan penjuru atau percuma adalah antara senjata untuk Harimau Malaya mengaum, cuma kurang bernasib baik sepanjang Pestabola Merdeka 2023.

Sebelum mengatur langkah ke Doha, Pan Gon berdepan dua perlawanan kompetitif yang juga pra-Piala Dunia 2026 sebelum menamakan barisannya, dengan bersua Kyrgyzstan pada 16 November, disusuli kunjungan ke Chinese Taipei pada 21 November.

Sekurang-kurangnya isu mencari lawan yang berkualiti tidak timbul menjelang misi di Doha.

Di samping itu, Pan Gon tertunggu-tunggu sama ada proses naturalisasi Anselmo Arruda da Silva aka Casagrande dan Romel Morales dipercepatkan kerana dua pemain itu harus meluaskan opsyennya.

Dengan kehadiran penonton melebihi hampir 80,000 untuk dua perlawanan, adalah jelas peminat yang dahagakan kejayaan untuk Harimau Malaya, berbesar hati dan menerima dengan hati terbuka kehadiran pemain seperti Endrick. Bagi pemain warisan seperti Matt, Brendan, Stuart, Dion dan Nooa, mereka berketurunan Malaysia dan tidak timbul kewajaran mereka berada dalam senarai Pan Gon.

Di sebalik prestasi pasukan negara, kita berdepan satu lagi isu. Sebagaimana seorang wartawan memerlukan peralatan untuk menyampaikan maklumat, pemain bola sepak memerlukan padang yang baik sebagai pentas menayangkan kemahirannya.

Namun tidak demikian jadinya sepanjang Pestabola Merdeka 2023. Isunya adalah keadaan padang di Stadium Nasional di Bukit Jalil.

Pengajaran kedua ini membuka mata peminat bahawa Stadium Nasional, sekalipun bergelar rumah Harimau Malaya, bukanlah venue sesuai untuk menyambut Kyrgyzstan.

Penambahbaikan struktur saliran dan penanaman rumput Zeon Zoysia menggantikan cowgrass yang dibiayai oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim (RM1.4 juta) namun sayangnya belum cukup berakar untuk kegunaan secara kerap dan berat.

Bak kata PSM, mereka memerlukan sekurang-kurangnya 30 ke 40 hari untuk memastikan padang sedia digunakan.

Penulis ingin cadangkan FAM bertukar venue ke Stadium Sultan Ibrahim untuk pusingan kelayakan Piala Dunia November ini.

Ini akan memberi peluang dan ruang kepada PSM menumpu sepenuh perhatian kepada penanaman rumput yang kuat dan tidak mudah tanggal.

Walaupun PSM memberi gambaran stadium itu rumah Harimau Malaya, hakikatnya FAM membayar sewa untuk menggunakan semua kemudahan yang ada di venue. Bahkan parkir untuk kakitangan dan petugas turut dicaj.

Operasi pembersihan pasca perlawanan pula boleh memakan belanja puluhan ribu ringgit.

PSM kena buktikan dengan tindakan, bukan sekadar muncul di podcast atau media sosial menyatakan komitmen untuk menyediakan permukaan padang bertaraf dunia tetapi andai timbul masalah, pantas menuding jari kepada pengguna utama, iaitu FAM yang membayar harga mahal dari segi sewa selain menanggung tanggapan buruk masyarakat.

Ramai tidak sedar andai ada sebarang kerosakan di stadium, FAM harus menanggung kerugian.

Pengajaran ketiga – Pestabola Merdeka masih relevan, biarpun terhad kepada dua perlawanan disebabkan jendela FIFA yang cukup kecil.

Hari ini adalah mustahil untuk mana-mana negara menganjurkan kejohanan membabitkan empat penjuru disebabkan pasukan biasanya diberi ruang beraksi dua perlawanan dalam tempoh empat hari Penarikan diri Palestin tidak menjejaskan penganjuran, sebaliknya menunjukkan FAM bersedia menjayakan sebarang bentuk kejohanan antarabangsa.

Pastinya hasil kerja keras Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, yang juga mendapat pujian dari wakil pasukan Tajikistan atas tatacara urusan yang baik.

Dengan adanya Pestabola Merdeka, FAM boleh memohon geran padanan yang ditawarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Penulis berharap Pestabola Merdeka diteruskan dengan edisi 2024, dengan diadakan pada tempoh di antara ulang tahun Merdeka pada 31 Ogos dan Hari Kebangsaan 16 September bagi menggunakan bola sepak sebagai ejen menyemai rasa cinta terhadap negara.

Sejauh ini, rasa cinta peminat terhadap Harimau Malaya sudah tidak dapat dinafikan lagi. Ayuh Harimau Malaya! Ngaumanmu kami tunggu!