KEPEMIMPINAN Datuk Wira Nur Azmi Ahmad dalam arena sukan tanah air bukan lagi satu persoalan.

Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad sebagai bekas atlet, pentadbir sukan dan tokoh berpengaruh dalam pelbagai badan sukan kebangsaan dan serantau, beliau tampil menawarkan diri untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029.

Naib Presiden MOM merangkap Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) itu berkata, pencalonannya adalah atas dasar tanggungjawab dan keinginan ikhlas untuk terus menyumbang kepada kelangsungan serta kebajikan atlet dan persatuan sukan negara.

Nur Azmi memimpin Melaka FC

“Objektif saya adalah supaya sukan kita menyumbang pingat kepada negara, bukan untuk kepentingan diri. Kalau saya dipilih, saya mahu pastikan sukan yang bertanding di peringkat seperti Sukan SEA, Asia atau Olimpik dapat membuat persiapan lebih rapi,” katanya, ketika dihubungi.

Sebagai bekas pemain hoki kebangsaan, Nur Azmi memahami cabaran dan keperluan sebenar atlet, baik di dalam mahupun luar gelanggang.

Muhammad Arif Afifuddin Malik antara produk kecemerlangan MAKAF.

Pada pemilihan kali ini, beliau bakal dicabar oleh Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz, selepas penyandang jawatan, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, memilih untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Jelas Nur Azmi, beliau tidak pernah memburu jawatan, sebaliknya hanya tampil apabila merasakan ada ruang dan keperluan untuk beliau menyumbang lebih besar.

“Bila ada kekosongan dan perlu bantu, saya masuk. Saya rasa sudah tiba masanya saya main peranan lebih besar. Saya pernah bersama sukan hoki sebagai pemain dan pentadbir, kini bersama karate dan juga bola sepak Melaka. Semua itu beri saya perspektif menyeluruh,” katanya.