Oleh: Mohd Fariq di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

AKHIRNYA tindakan berani Datuk Hamidin Mohd Amin untuk melantik Kim Pan-gon terbalas apabila Harimau Malaya mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia AFC 2023.

Keputusan 4-1 dengan Bangladesh di hadapan lebih 52 ribu penonton sebentar tadi mengesahkan penyertaan skuad negara buat kali pertama selepas menjadi hos pada 2007 dan kali pertama selepas 43 tahun secara merit.

Malaysia adalah antara lima naib juara kumpulan terbaik mengiringi lapan juara kumpulan pada pusingan akhir kelayakan bersama Thailand, Kyrgyzstan, India dan masih menunggu satu lagi bagi saingan akhir Kumpulan A.

Hamidin yang melawan arus sentimen umum, mengambil keputusan untuk melantik jurulatih baharu selepas Tan Cheng Hoe mengundur diri apabila skuad negara gagal melepasi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020 Disember lalu.

Di saat peminat mempertahankan Cheng Hoe dan menyalahkan pucuk pimpinan FAM atas kegagalan di Piala AFF Suzuki itu, Hamidin mengambil dua keputusan besar.

Pertama, beliau bersetuju untuk FAM melakukan bedah siasat yang dikendalikan oleh badan bebas diketuai oleh Datuk Dell Akbar Khan, bekas Setiausaha Agung FAM.

Kedua, sambil menunggu pasukan bedah siasat itu untuk mengendalikan soal siasat, Hamidin diam-diam menyenarai pendek beberapa jurulatih asing untuk ditemu ramah.

Kesudahannya, Pan-gon dipilih atas dasar bahawa dia mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia, menyedari kekuatan dan kelemahan pemain dalam Liga M serta pernah membawa Hong Kong menentang Malaysia pada 2017.

Pan-gon meyakinkan Hamidin bahawa dia calon paling layak dengan berkongsi ilmu teknikalnya, menyebut beberapa nama pemain yang dikenali serta hakikat reputasinya selaku bos untuk pasukan kebangsaan Korea Selatan.

Dalam tempoh empat bulan, dengan hanya dua kali latihan pusat, Pan-gon bersama penolongnya Pau Marti, E. Elavarasan, juruanalisis prestasi, Lim Jae-hyun, jurulatih penjaga gol Chun Jun Ho, jurulatih kecergasan Dr Gokhan Kandemir dan Park Bo Bae menyuntik budaya prestasi tinggi bagi menyediakan persekitaran yang menggalakkan pemain.

Bekerja keras setiap hujung minggu meninjau prestasi hampir 70 pemain, Pan-gon mengenal pasti teras pasukannya yang tidak jauh daripada kelompok pemain yang sama dipercayai oleh Cheng Hoe.

Tindakan memanggil Guilherme de Paula pula tidak disenangi peminat disebabkan penyerang kelahiran Brazil itu langsung tidak beraksi musim ini serta dianggap tidak sesuai dalam set-up terbaharu.

Di sebalik kontroversi yang melingkari persiapan pasukan, Pan-gon memastikan moral dan semangat sepasukan pemain kekal tinggi dan fokus.

Pan-on bersama panel jurulatihnya mengisi semua senarai semak prestasi tinggi yang disyorkan oleh badan bebas bedah siasat berkenaan.

Dengan mengemukakan laporan prestasi pasukan yang komprehensif, Pan-gon memaksa Jae-hyun menyunting video aksi pemain untuk dianalisis lalu dikirim kepada Marti yang memegang iPad untuk ditunjukkan kepada Pan Gon ketika perlawanan – begitu terperinci kaedah pengurusan perlawanan dan taktikal jurulatih dari Korea Selatan itu.

Sebelum perlawanan malam ini, pemain turut mengirim mesej bertalu-talu kepada Hamidin bahawa meraka akan bermain mati-matian untuk pastikan tempat ke Piala Asia AFC terjamin, dan sebagai hadiah membalas sokongan peminat yang tiada batasnya terutamnya Ultras Malaya.

Biarpun padang menimbulkan masalah serta Pan-gon di kritik ketika memujuk Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar pertimbang semula keputusan mengundur diri daripada menguruskan JDT, Harimau Malaya kekal dengan aksi memberangsangkan, dengan gaya baharu menguasai permainan tanpa mengira status lawan.

Acuan Pan-gon memberanikan Harimau Malaya untuk mendominasi bola menerusi cara permainan direct tanpa membuang masa.

Kini Malaysia adalah antara 24 pasukan yang bakal bertanding pada pusingan akhir di destinasi yang akan ditetapkan kemudian selepas China menarik diri daripada menjadi hos.

Sejarah bakal tercipta Jun 2023. Ruang pasukan kebangsaan untuk meneroka laluan yang tidak pernah dilalui sebelum ini, terbentang luas.

Satu malam keramat, malam yang penulis tidak akan lupa, satu kepuasan sejak membuat liputan bola sepak negara sejak 1993 sebagai seorang wartawan sukan.

Lebih manis, momen istimewa ini turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri yang hadir ‘back to back’ ke stadium memberi sokongan kepada pasukan negara.

SYABAS HARIMAU MALAYA!

REKOD PASUKAN KEBANGSAAN DI BAWAH KIM PAN-GON

Malaysia 2 Filipina 0
Singapura 2 Malaysia 1
Malaysia 4 Brunei 0
Malaysia 2 Hong Kong 0
Malaysia 3 Turkmenistan 1
Malaysia 1 Bahrain 2
Malaysia 4 Bangladesh 1