TENAGA Nasional Berhad (TNB) bukan sekadar penaja, tetapi nadi yang menghidupkan pembangunan hoki Malaysia dan menjelang Piala Sultan Azlan Shah 2025 (SAS Cup), komitmen itu kembali dizahirkan dengan lebih besar, lebih mendalam dan lebih strategik.
Sebagai penaja utama sejak lebih tiga dekad, TNB telah melabur lebih RM2 juta dalam penganjuran SAS Cup, dan tahun ini sahaja sumbangan itu meningkat kepada RM400,000. Menurut Shamsul Ariffin Zainuddin, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, peningkatan ini mencerminkan kepercayaan TNB terhadap nilai kejohanan tersebut untuk negara.
“TNB sudah bersama SAS Cup sejak awal penganjuran. Tahun ini kami tingkatkan sumbangan kepada RM400,000 kerana kami percaya kejohanan ini penting untuk hoki Malaysia, sama ada dari segi pembangunan mahupun reputasi antarabangsa,” katanya dalam temu bual khas di Astro.
Harapan terhadap prestasi Speedy Tigers juga jelas. Dengan edisi tahun ini menawarkan mata ranking FIH, TNB mahu skuad negara sekurang-kurangnya meraih tempat podium, malah mengulangi kejuaraan lalu dianggap bonus besar.

Shamsul Ariffin Zainuddin, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB. FOTO: TNB
“Kami mahu lihat pasukan kebangsaan sekurang-kurangnya podium. Ia penting untuk ranking dunia dan penting untuk masa depan hoki negara,” ujar beliau.
Dalam aspek pembangunan, TNB meneruskan Klinik Hoki yang mengumpulkan pelajar sekolah di Ipoh untuk dilatih oleh pemain kebangsaan yang juga pemain TNB usaha yang menyalakan minat generasi muda terhadap hoki sejak peringkat akar umbi. Pada masa sama, TNB turut menyerahkan kelengkapan sukan kepada 12 sekolah sekitar Ipoh dan daerah berdekatan.
“Hoki ini sukan pasukan dan agak mahal. Jadi kami bantu sekolah dengan kelengkapan lengkap supaya bakat tak terhenti hanya kerana kos,” jelasnya
Inisiatif tersebut dihubungkan terus kepada projek pembangunan terbesar TNB: Program Thunderbolt. Dengan tujuh sekolah angkat termasuk SSTMI, SSBJ, Anderson dan beberapa sekolah negeri lain, Thunderbolt menjadi laluan utama melahirkan pemain kebangsaan secara konsisten.
Melalui strategi ini, TNB sentiasa memastikan kesinambungan bakat muda di seluruh negara menjadikan peranan mereka dalam hoki Malaysia bukan lagi sebagai penaja, tetapi sebagai penggerak ekosistem.