BEKAS pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold akan kembali ke Anfield buat pertama kali sejak menyertai Real Madrid apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Kumpulan B Liga Juara-Juara UEFA pada Selasa.

Pemain berusia 26 tahun itu menyertai Real Madrid pada Mei lalu dengan nilai perpindahan sekitar RM 55 juta, menamatkan karier panjangnya bersama Liverpool sejak di akademi dan mencetuskan pelbagai reaksi kerana dianggap antara produk terbaik yang pernah dilahirkan kelab itu.

Dalam temubual bersama Prime Video Sport, Alexander-Arnold mengakui hatinya masih terikat dengan Liverpool dan menegaskan tidak akan meraikan jika berjaya menjaringkan gol menentang bekas pasukannya, sambil menyifatkan ia sebagai tanda hormat.

Namun, kepulangannya ke Anfield dijangka tidak disambut mesra apabila ramai penyokong Liverpool di media sosial meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap keputusannya menyertai Real Madrid, malah ada yang menyeru agar beliau diejek ketika turun beraksi nanti.

Perlawanan ini penting buat kedua-dua pasukan, dengan Real Madrid masih belum kalah manakala Liverpool mahu mempertahankan maruah di Anfield. Ia bukan sahaja ujian taktikal, tetapi juga emosi buat Alexander-Arnold yang bakal menentang kelab yang membesarkannya.

Liverpool dan Real Madrid sudah bertemu 12 kali dalam Liga Juara-Juara dengan Liverpool menang tujuh kali, satu seri dan Real Madrid menang empat kali, termasuk final 2022 yang dimenangi Real 1-0. Perlawanan seterusnya dijadual pada Selasa, 4 November, jam 4.00 pagi waktu Malaysia.

Kredit Gambar : Real Madrid