PENGENDALI Vietnam, Philippe Troussier mengakui bahawa kesilapan kecil yang dilakukan oleh pemain Vietnam telah memberi peluang buat skuad Indonesia untuk memenangi perlawanan semalam dalam saingan kedua Piala Asia 2023.
Troussier terpaksa akur selepas menyaksikan anak buahnya tewas dengan jaringan penalti Asnawi Mangkualam sejurus menjadikan kekalahan kedua berturut-turut buat Vietnam.
“Saya sangat kecewa dengan kekalahan ini. Ia adalah perlawanan berkualiti tinggi di mana keputusan ditentukan melalui penalti, selepas kesilapan kecil di dalam kotak penalti. Kesilapan kecil telah menjejaskan rentak seluruh pasukan,” ujarnya.
Sementara itu, Troussier turut menganggap perlawanan menentang Indonesia agak sukar memandangkan pasukan Indonesia kini telah diperkuatkan dengan beberapa pemain warisan.
Namun, Troussier tetap menganggap kekalahan yang menimpa skuad Vietnam bukanlah satu titik noktah untuk menghentikan perjuangan mereka di Piala Asia.
Troussier akan terus memberi semangat kepada anak buahnya untuk mendapatkan tiga mata pada aksi terakhir menentang Iraq.
“Indonesia mempunyai skuad berkualiti dengan pemain naturalisasi dan jelas ianya menjadi satu perlawanan yang sukar. Kami tewas tetapi saya bangga kerana kami telah berjuang dengan hebat sehingga ke detik terakhir.
“Kami tidak akan berputus asa untuk tiga mata dalam perlawanan menentang Iraq,” katanya lagi.
Pada aksi yang berlangsung semalam (Jumaat), penalti dari Asnawi Mangkualam pada minit ke-42 sudah mencukupi buat Indonesia untuk mendapatkan tiga mata pertama dalam kempen Piala Asia 2023.
Vietnam dijadualkan bakal bertemu dengan Iraq pada aksi terakhir mereka pada 24 Januari manakala Indonesia akan bertemu skuad Jepun pada tarikh yang sama.