HAMPIR tiga tahun melalui fasa tanpa sebarang gol, kini nama penyerang muda Luqman Hakim Shamsudin diangkat sebagai wira kemenangan ketika aksi bertemu Laos bagi saingan Kumpulan B Sukan SEA 2021 yang kini sedang berlangsung di Hanoi, Vietnam.

Bagi yang mengikuti rapat perkembangan pemain berusia 20 tahun kelahiran Kota Bharu ini, pastinya sudah mengetahui bakatnya yang dikembangkan ketika bergelar pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang ketika itu dianggap sebagai penyerang penting dalam beberapa siri Jelajah Eropah yang diikuti.

Selepas tamat di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Luqman diikat bersama Selangor FC II sebelum ditawarkan kontrak bersama kelab Belgium KV Kortrijk pada Ogos 2020.

Perubahan fizikal Luqman ketika pertama kali pulang ke negara selepas beberapa bulan di Belgium menjadi ‘viral’.

Bermulalah episod baharu bagi Luqman, yang menjadi harapan buat seluruh peminat bola sepak tanah air untuk dia terus maju dalam karier profesionalnya ini.

Bukan tugas mudah, namun sikapnya yang matang Luqman dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama kelab Divisyen Satu Belgium itu.

Perubahan paling ketara Luqman ketika kali pertama menyertai skuad kebangsaan selepas berada di Belgium pada Mac 2021 dengan perubahan fizikal yang semakin ‘sado’. Rata-rata memuji perubahan itu yang pastinya memerlukan tahap disiplin tinggi untuk membina ‘tubuh’.

Apa yang menariknya, kelibat Luqman sentiasa menjadi pilihan bagi skuad Bawah 23 tahun mahupun pasukan senior Harimau Malaya sejak itu. Harapan menggunung untuk melihat dia mendapat menjaringkan gol dalam setiap perlawanan yang disertai.

Malang sekali buat Luqman, ia sukar dilakukan. Namun watak Luqman sentiasa menjadi tumpuan, selalu diekori rapat pemain lawan kerana kelibatnya suka mengucar-kacirkan barisan pertahan lawan. Banyak kali hantaran Luqman boleh menjadi punca gol.

Malah banyak peluang gol dibuka untuk rakan-rakan sepasukan, namun jika dilihat agak sukar baginya mendapat peluang sebegitu daripada rakan-rakannya.

Sikap yang sentiasa positif dan tersenyum melegakan hati segelintir penyokong biarpun ada juga yang terus memberi tekanan supaya kembali ke tanah air, beraksi dalam Liga Malaysia untuk minit permainan memandangkan di Kortrijk namanya agak jarang dalam barisan utama.

Namun Luqman adalah Luqman. Apa sahaja kritikan negatif, dia sentiasa mengambilnya sebagai motivasi untuk terus bekerja keras. Pemikirannya lebih matang setiap kali kembali ke tanah air.

“Saya tak boleh nak pertikai apa sahaja kritikan. Biarlah apa orang nak cakap. Saya hanya fokus untuk bermain dengan baik dan menjaringkan gol.”

Dan kali ini, dia membuktikan bahawa kesabaran dan usaha keras berjaya dibuat dengan kepercayaan yang diberikan oleh rakan sepasukan, jurulatih serta barisan pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dia yakin, dua gol yang diciptanya itu bukanlah yang terbaik, namun ia sebagai permulaan untuk mempamerkan aksi lebih baik selepas ini.

Untuk rekod, kali terakhir Luqman menjaringkan gol buat pasukan negara pada pada pusingan kelayakan Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Phnom Penh, Kemboja pada Nov 2019.

Pada saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu, Luqman Hakim mengumpul lima gol selepas meledak masing-masing satu dan empat gol ketika menentang pasukan tuan rumah dan Brunei.