KETUA jurulatih England, Thomas Tuchel, pada Rabu menyifatkan pasukannya sebagai bukan pilihan utama bagi saingan Piala Dunia tahun depan, dengan menegaskan skuad kendaliannya tidak harus terbeban dengan label “pasukan pilihan” ketika berusaha menamatkan penantian 59 tahun untuk meraih trofi utama.
England sebelum ini mara ke separuh akhir Piala Dunia serta dua aksi final Kejohanan Eropah (Euro) di bawah bimbingan bekas pengurus Gareth Southgate, namun belum pernah memenangi sebarang trofi besar sejak kejayaan terakhir mereka pada 1966.
“Kami akan hadir sebagai pasukan bukan pilihan di Piala Dunia kerana kami tidak memenanginya selama beberapa dekad, manakala kami akan menentang pasukan-pasukan yang telah berulang kali memenanginya dalam tempoh itu.”
“Jika anda tidak pernah memenangi di Wimbledon, anda mungkin antara pasukan pilihan, tetapi bukan pasukan pilihan utama. Ada Brazil,Argentina, Sepanyol, dan Perancis yang baru sahaja menang baru-baru ini.”
“Ini tidak bermakna kami tiada peluang. Pertama sekali kami akan layak dahulu, kemudian kami akan tahu dengan jelas mengapa kami ke sana. Kami mahu pergi sejauh mungkin tetapi peranan kami mesti jelas.”
“Saya tidak nampak mengapa kami perlu membebankan diri dengan tanggapan bahawa kami pasukan pilihan utama. Bila kali terakhir kami memenanginya? Kami sedang membina pasukan satu demi satu, dan semoga tiada siapa mahu menentang kami nanti,” katanya.
Kemenangan di Latvia pada 14 Oktober, digabungkan dengan keputusan seri antara Serbia dan Albania, sudah cukup untuk memastikan England layak ke Piala Dunia sebagai juara kumpulan.