Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Vitinha menegaskan pasukannya tidak boleh memandang mudah ancaman Liverpool menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara walaupun kelab dari Anfield itu hadir dengan prestasi kurang meyakinkan.

“Liverpool tetap Liverpool walaupun mereka tidak berada pada tahap terbaik. Mereka masih sebuah pasukan hebat,” kata Vitinha kepada wartawan hari ini menjelang aksi pertama di Parc des Princes.

“Ia akan menjadi perlawanan hebat di sini dan juga di Anfield dan esok kami perlu berada pada tahap 100 peratus. Ia pasti menjadi perlawanan yang sangat, sangat sukar,” tegasnya dengan aksi timbal balik dijadual berlangsung Selasa depan.

Pertemuan itu mengulangi aksi pusingan 16 terakhir musim lalu apabila Liverpool menang 1-0 di Paris sebelum skuad kendalian Luis Enrique bangkit dengan keputusan sama di Anfield dan mara menerusi penentuan penalti.

PSG kemudian muncul juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah mereka, manakala Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).

Mereka hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir bagi semua pertandingan dan kini berada di tangga kelima EPL, sekali gus menyaksikan peluang ke Liga Juara-Juara musim depan masih belum terjamin.

“Ia satu perlawanan yang luar biasa,” kata Vitinha mengulas pertemuan musim lalu.

“Ada sedikit kekecewaan dalam perlawanan pertama. Saya tidak ingat Liverpool mempunyai peluang selain gol yang mereka jaringkan di penghujung aksi.

“Kami bermain dengan baik tetapi tetap tewas. Saya ingat berkata dengan prestasi seperti itu, kami mampu ke Liverpool dan menang.

“Nasib baik kami melakukannya, tetapi itu tahun lalu. Ini tahun berbeza, kedua-dua pasukan sudah berubah. Banyak perkara boleh berlaku dalam setahun dan ia pasti menjadi perlawanan berbeza.”

Salah satu wajah baharu dalam skuad Liverpool kali ini adalah penyerang Perancis, Hugo Ekitike yang kembali ke Paris untuk berdepan bekas kelabnya selepas mengharungi tempoh sukar selama 18 bulan antara 2022 hingga 2024.

Ekitike kini penjaring terbanyak Liverpool musim ini dengan 17 gol dan prestasi semasanya turut meletakkan dia sebagai calon untuk kesebelasan utama Perancis di Piala Dunia.

“Hugo seorang yang hebat. Saya seronok beraksi bersamanya selama setahun. Anda boleh lihat kualitinya walaupun ketika itu bukan situasi terbaik untuknya.

“Saya doakan yang terbaik untuknya kecuali dalam dua perlawanan ini,” kata Vitinha. – AFP