PENGENDALI Real Madrid, Xabi Alonso menyatakan sokongan terhadap Vinicius Jr yang diejek penyokong sendiri ketika kemenangan 5-1 ke atas Real Betis.
Vinicius, yang menjaringkan 22 gol musim lalu, cuma mengumpul lima gol dalam semua pertandingan musim ini dan gagal menjaringkan gol dalam 15 perlawanan terakhir.
Walaupun dicemuh ketika perlawanan menentang Sevilla pada 20 Disember, Alonso menegaskan pemain berusia 25 tahun itu tetap memberi sumbangan besar.
“Vini banyak menyumbang, dia datang dengan baik, gigih dan mengganggu pertahanan lawan. Saya suka prestasinya, dengan segala yang dia beri. Dia akan tetap penting untuk Piala Super,” kata Alonso.
Selain itu, Gonzalo Garcia mencuri tumpuan dengan hatriknya pada kesempatan menggantikan Kylian Mbappe yang cedera di bahagian lutut.
Alonso memuji sikap dan prestasi penyerang muda itu, berkata ia contoh cemerlang pemain akademi Real Madrid.
“Gonzalo mengharungi perlawanan impian di Bernabeu, menjaringkan hatrik pada musim pertamanya.
“Dia bekerja keras setiap hari, sama ada bermain atau tidak. Saya menggalakkannya untuk terus maju,” katanya.
Real Madrid akan menentang Atletico Madrid di separuh akhir Piala Super Sepanyol, Khamis ini, dengan Alonso tidak menolak kemungkinan untuk menggandingkan Mbappe, Vinicius, Rodrygo dan Garcia.