SEORANG wartawan TV Argentina, yang membuat liputan langsung di Piala Dunia FIFA, berdepan pengalaman ngeri apabila disamun pada hari pertama kejohanan.

Wartawan wanita yang dikenali sebagai Dominique Metzger itu segera ke balai polis dalam keadaan cemas. Dia lega apabila pihak polis berjanji segera mengesan penyamun menerusi kamera pengawasan keselamatan berteknologi tinggi.

Metzger disamun ketika membuat liputan langsung menyaksikan beberapa barang dari beg tangannya dicuri, sekali gus membuatkan rakaman liputan langsung itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, wanita itu berkata dia terkejut apabila pihak polis meminta cadangan berkaitan hukuman yang mahu dikenakan ke atas penyamun terbabit.

“Saya pergi ke balai dan ketika itulah perbezaan budaya bermula. Polis wanita itu berkata kepada saya: ‘Kami mempunyai kamera berteknologi tinggi di mana-mana dan kami akan mencari dia (pencuri) dengan pengesanan muka. Apabila kita menangkapnya nanti, apa hukuman yang anda mahukan’,” kata Metzger, dipetik Mirror UK.

“Apakah keadilan yang anda mahu? Apakah hukuman yang anda mahu kami berikan kepadanya? Adakah anda mahu dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun? Adakah anda mahu dia dihantar pulang?”, tambahnya.

Beberapa wartawan berdepan masalah ketika membuat liputan di Qatar. Sebelum ini, seorang wartawan Denmark diminta menghentikan penggambaran sedang merakam untuk salurannya, menyebabkan penganjur kejohanan memohon maaf kepada wartawan itu, dan mengakui bahawa wartawan itu tersilap diganggu.

“Penganjur kejohanan menyedari kejadian di mana kru penyiaran Denmark tersilap diganggu semasa siaran langsung di salah satu destinasi pelancongan Qatar.

“Selepas pemeriksaan dilakukan, kru terbabit mempunyai akreditasi kejohanan dan mendapat permit membuat rakaman, permohonan maaf sudah dibuat kepada stesen peniaran itu dan aktiviti mereka disambung semula.

“Penganjur kejohanan dilihat berbincang dengan wartawan terbabit dan pihak tertentu sudah dinasihati untuk menghormati permit merakam yang dikeluarkan untuk kejohanan itu,” kata kenyataan rasmi pihak berkuasa mengenai perkara itu.