PENERJUN negara, Wendy Ng Yan Yee mengumumkan persaraannya dari bidang terjun selepas 17 tahun bersama pasukan kebangsaan.
Penerjun berusia 30 tahun itu mengumumkan persaraannya menerusi satu video yang di media sosial miliknya semalam, mengatakan dia meninggalkan bidang terjun kompetitif tanpa rasa menyesal.
“Hari ini (semalam) dengan hati yang bersyukur dan berterima kasih, saya mengucapkan selamat tinggal kepada kolam yang menjadi tempat perlindungan dan pentas saya untuk detik-detik yang tidak dapat dilupakan.

Wendy Ng Yan Yee telah bersama pasukan terjun negara untuk 17 tahun. (Sumber Gambar: NSTP)
“Sepanjang 20 tahun saya dalam bidang terjun, saya mungkin tidak sempurna, tetapi begitulah kehidupan. Selama bertahun-tahun, kehidupan telah membawa pelbagai tekanan dan keraguan, tetapi ini telah membentuk siapa saya hari ini.
“Daripada kejayaan Olimpik kepada menghargai setiap kemenangan, didorong oleh dedikasi dan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Kepada Team Malaysia yang saya kasihi, jurulatih, rakan sepasukan, dan penaja dan peminat saya yang menyokong saya, kepercayaan anda telah mendorong saya ke tahap yang tidak dapat dibayangkan,” katanya dalam video itu.
Wendy Ng menyebut bahawa persaraannya tidak menandakan pengakhiran, tetapi permulaan perjalanan baru yang menarik, walaupun dirinya masih belum memutuskan rancangan masa depannya.
Dia sebelum ini pernah menyertai Sukan Olimpik London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020, dengan prestasi Olimpik terbaiknya ialah tempat ke-10 dalam acara solo 3 meter papan anjal di Sukan Olimpik Rio.

Wendy Ng yang bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri sering mendapat kejayaan di kejohanan antarabangsa.
Wendy Ng kali terakhir bertanding pada Februari di Kejohanan Dunia di Doha, yang juga menjadi acara kelayakan terakhir untuk Sukan Olimpik Paris.
Malangnya, dia tidak layak dalam acara solo dan seirama 3 meter papan anjal wanita (berganding dengan Nur Dhabitah) sekali gus terlepas peluang untuk beraksi di Olimpik keempat berturut-turut.
Wendy memenangi pingat perak ketika Sukan Asia Guangzhou 2010 bersama Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong di Sukan Asia Incheon 2014 dan bersama Nur Dhabitah di Sukan Asia Indonesia 2018 dan Sukan Asia Hangzhou 2022 serta turut memenangi pingat perak dalam acara dan gandingan yang sama pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.