REAL Madrid dilaporkan tidak akan berputus asa dalam usaha mereka untuk mendapatkan William Saliba, dengan kelab gergasi Sepanyol itu bersedia untuk mengemukakan bidaan rekod dunia bagi membawa masuk pemain pertahanan tengah berbakat itu pada musim panas nanti.

Saliba, yang kini dianggap sebagai salah seorang pertahanan tengah terbaik di Eropah, telah mencuri perhatian ramai melalui prestasi cemerlangnya bersama Arsenal dalam saingan domestik dan Eropah sejak dua tahun kebelakangan ini.

Menurut laporan media antarabangsa, Los Blancos sedang giat berusaha untuk memikat bintang Perancis itu, memandangkan mereka memerlukan tambahan tenaga di bahagian pertahanan.

Untuk memujuk Arsenal melepaskan Saliba, Real Madrid mungkin perlu menawarkan yuran perpindahan yang mencecah sekurang-kurangnya £83 juta (RM456.5 juta), sekaligus memecahkan rekod dunia bagi seorang pemain pertahanan.

Rekod semasa kini dipegang oleh Harry Maguire, yang berpindah ke Manchester United dengan nilai £80 juta (RM440 juta), pada tahun 2019.

Laporan turut menyebut bahawa Real Madrid telah memulakan langkah awal dengan menghubungi wakil Saliba, dan tindak balas yang diterima dikatakan cukup positif.

Namun, kejayaan perpindahan ini bergantung sepenuhnya kepada kesediaan Arsenal untuk melepaskan tonggak pertahanan mereka, yang kini menjadi pemain penting dalam pasukan kendalian Mikel Arteta.